Al-kisah menceritakan mengenai tiga pemuda Ali, Ahmad dan Amirul... menyambut Ramadhan yang sama...tetapi masing-masing di negara yang berbeza...
Ali Hussin seorang remaja Syria dan Ahmad Syatir
merupakan seorang remaja Mesir. Ramadhan bagi kedua-dua mereka adalah sama
sepertimana Ramadhan-Ramadhan sebelumnya, tiada banyak beza. Dan kedua-dua
remaja ini tetap berpuasa seperti biasa sepertimana orang lain biasa berpuasa
di negara mereka.
Amirul seorang remaja Malaysia. Tinggal bersama-sama 3
orang abang dan kakaknya, Ramadhan kali ini Amirul berazam untuk puasa
sepenuhnya kerana dia teringat janji ibunya, RM5 untuk setiap hari yang berjaya
dia puasa.
Pagi itu, Ali bangun seawalnya. Setelah tercelik
sahaja mata, Ali cepat-cepat menuju ke dapur untuk mula membakar kayu api bagi
menyediakan juadah sahur untuk ibu dan 5 orang lagi adik-adiknya. Syatir pun
tidak kurang jauh biasanya seperti hari-hari sebelumnya. Pabila jam meniti
waktu 2 pagi sahaja, Syatir akan cepat-cepat bangun membasuh muka, pergi ke
dapur untuk membantu kakaknya dan kemudian dia akan mengejutkan kelima-lima
adik-beradiknya yang masih kecil lagi untuk bangun bersahur bersama.
Jam sudah menunjukkan pukul 5 pagi dan Amirul masih
lagi berselubung di balik selimut tebalnya. Puas berkali-kali ibunya menjerit
memanggil namanya dari tingkat bawah, namun, Amirul tetap terus enak diulit mimpi-mimpi
indahnya. Katil lebih utama baginya daripada bangun sahur yang tidak seberapa.
Seperti siang-siang sebelumnya, Syatir akan keluar di
pagi-pagi buta ketikamana insan-insan lain masih belum lagi mencelikkan mata.
Dia akan pergi mencari kereta-kereta di tepi jalan milik orang berada untuk
ditawarkan dengan basuhannya. Biasanya Syatir akan mendapat sekitar LE0.50
untuk setiap kereta yang dibasuhnya dan duit-duit inilah yang akan dia
kumpulkan sehari-sehariannya.
Roti yang dijunjung Ali disusun elok-elok satu-persatunya
oleh dua orang adik lelakinya. Seperti hari-hari biasa, roti-roti ini akan
dilaung-laungkan jeritan mereka di bangku jalanan bagi mendapatkan
kepingan-kepingan duit syiling yang tak seberapa. Dan sepanjang tengahari
itulah Ali dan adik-adiknya akan meneruskan rutin harian mereka di bawah
sinaran matahari yang tajam membahang tanpa sedaun teduhan pun yang memayungi
peluh yang membasahi dahi mereka.
Amirul bangun paginya akan terus sahaja menuju ke
ruangan tamu rumahnya. Sambil berbaring di sofa coklat, Amirul akan membuka
siaran televisyen dan ditelek satu persatu rancangan yang ada ketika jam
menunjukkan pukul 11 pagi, seperti hari-hari sebelumnya. Dan pabila dirasakan
kebosanan sekali-sekala, Amirul akan bermain bersama ‘Playstation’nya
kerna dirasakan aktiviti inilah yang dapat dilakukannya bagi mengisi masa-masa
lapang yang ada sementara menanti waktu berbuka.
Setelah menunaikan solat Zohor di masjid berdekatan,
Ali dan adik-adiknya mengemaskan roti-roti yang ada dan terus berjalan pulang
setelah seharian penat memerah tenaga. Kemudian tiba-tiba Ali terdengar jeritan
adiknya Hasan sedang meraung kesakitan. Terus Ali meninggalkan roti-roti yang
dijunjungnya dan pantas berlari mendapatkan adiknya yang dilihat terbaring
sambil menahan kesakitan menekap dada yang berdarah. Dan ketika itu juga
kedengaran beberapa butir peluru terbang melingkari atas kepala mereka
membabi-buta. Terus Ali mengangkat Hasan ke bahunya dan membawa adiknya seorang
lagi berlari-lari pulang menuju ke rumah mereka.
Syatir petang itu sedang berjalan pulang menuju ke
rumahnya pabila tiba-tiba dia mendapati jutaan manusia sedang berarak di
hadapan jalan yang sama sambil melaungkan perkataan “Mursi ya Mursi! Mursi
pemimpin kami!! Lantas pabila mendengarkan kalimah-kalimah yang dilaungkan itu,
Syatir terus berkobar-kobar bersemangat untuk turut menyertai mereka demi
menegakkan kebenaran bersama. Ditinggalkan hasrat untuk pulang ke rumah dan
terus disertainya perarakan itu tanpa teringatkan walau sedikit kepada penat
seharian bekerja.
Amirul sedang menonton televisyen yang rancak sedang
memutarkan lagu-lagu raya dan tidak ketinggalan juga menayangkan
tawaran-tawaran murah jualan sempena hari raya. Kemudian, selepas sahaja solat
Asar, Amirul tiba-tiba bersorak keriangan. Sungguh gembira betul perasaannya
pabila melihatkan kepada ibu dan ayahnya yang pulang dari kerja petang itu
sambil membawa berbungkus-bungkus plastik kuih dan minuman. Terus Amirul duduk
berhadapan meja makan sambil menepuk-nepuk tangan menanti waktu azan.
Azan Maghrib sayup-sayup kedengaran. Ali bersama-sama
adik-adiknya dan ibunya yang telah uzur, perlahan-lahan menyuapkan roti baki
jualan pagi tadi sebagai juadah berbuka mereka. Sambil memerhatikan kepada
Hasan yang sedang menahan kesakitan, mereka bersedih tidak mampu untuk
mengambil apa-apa lagi tindakan kerna kemampuan kewangan jauh sekali mampu
mereka sediakan untuk membiayai kos rawatan. Tidak lama selepas itu, keluarga
Ali ditinggalkan dengan hembusan nafas terakhir daripada Hasan.
Syatir bersama jutaan umat Mesir yang sedang berbuka
puasa dalam himpunan mereka tadi tiba-tiba didatangi segerombolan pasukan polis
yang dengan tidak semena-mena terus menangkap dan memukul-mukul mereka.
Beberapa gas pemedih mata dilepaskan tembakannya membabi-buta ke arah mereka dan
Syatir juga turut tidak terlepas daripada ‘menikmati juadah berbuka’ sepakan
dan pukulan kayu-kayu yang hinggap ditubuh badannya.
Amirul pula…Argghhh...!! Tidak perlulah diceritakan sambungannya... Kerna masing-masing dari kita mungkin turut merasai perkara yang sama...
Ya. Ini Ramadhan kita dan itu Ramadhan mereka.
Meskipun kita bergelar satu ISLAM yang sama, tapi adakah sambutan Ramadhan kita
sesuatu yang sama? Puasa mereka dibuka dengan peluru-peluru musuh durjana.
Puasa mereka dihidangkan dengan juadah sepakan-sepakan dan gas-gas pemedih
mata. Dan puasa kita sering dibuka dengan senda gurau hilai tawa. Jangan
lupakan saudara-saudara kita di sana, kerna umat Islam itu tetap BERSAUDARA
KESELURUHANNYA.
Sentiasa sertakan doa kita sepanjang masa
untuk saudara-saudara kita di sana.
Isu Ummat Isu Kita.
"مَنْ لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنْهُمْ
"Barangsiapa yang tidak mengambil berat akan perihal umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya..."
(Hadis Dhoif pada riwayat tapi sohih pada makna)
-Amirul Azmeer Bin Asmadi,
Kuliah Perubatan Al-Azhar,
1.04am, 21/7/2013,
Copy Paste post telah dilakukan, harap tuan dapat memaafkan, admin cuma berniat untuk berkongsi ilmu tuan dengan pembaca kami, InsyaAllah Allah memberkati tuan . Kami juga sedang mencari daie untuk menjadi diantara panel penulis karya dan dakwah untuk blog kami secara ikhlas. Jika berminat, boleh berhubung terus dengan fb page kami. Terima Kasih .
ReplyDelete>> http://bingkisanberdebu.blogspot.com/2014/06/ramadhan-kita-dan-mereka-hmm.html
Ok, tidak mengapa. Makluman untuk copypaste kepada saya seperti ini pun sudah cukup bagus dah sebenarnya. Selamat berkongsi!
Delete