Tuesday, 17 September 2013

'Suapan' media kepada rakyat


  
            Media Mesir di zaman pemerintahan Hosni Mubarak sememangnya terkenal dengan berita-berita dan artikel-artikel yang mengampu pemerintah diktator Mesir di kala itu. Ini berlaku kerana andai ada media-media yang dilihat membuat cubaan untuk memburukkan reputasi pemerintahan Hosni Mubarak, maka syarikat media ini akan serta merta ‘dibungkus’ oleh penguasa di kala itu juga.

Ancaman ini lantas menyebabkan media-media Mesir yang ada di waktu itu tidak akan sama sekali mencetuskan sebarang kritikan mahupun teguran kepada pemerintah negara demi untuk menjaga ‘periuk nasi’ mereka. Lantas juga hal ini menyebabkan mentaliti rakyat Mesir yang ada di waktu itu memandang pemerintah mereka seperti ‘maksum’, tidak ditemui sebarang kesalahannya.

Namun, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan jatuh ke tanah juga. Kewujudan media-media baru lain seperti Facebook terutamanya telah banyak membongkarkan kepincangan dan ketidaktelusan Hosni dan kroni-kroninya dalam menjalankan amanah pemerintahan negara lama-kelamaan selepas itu. Dan peranan media baru ini jugalah yang menyumbang sebahagian besar keberjayaan pergerakan ‘Revolusi 25 Januari’ rakyat menumbangkan pemerintahan rejim Hosni Mubarak daripada terus memerintah di kala itu.

Kemudian apabila tiba giliran Dr Muhammad Mursi memerintah, media-media prima yang ada ini tidak lagi diberikan sekatan dan ancaman seperti zaman-zaman sebelumnya. Ya. Dr Mursi memang berjaya menunjukkan wujudnya hak kebebasan bersuara itu di zaman pemerintahannya. Namun, kebebasan bersuara yang ada ini jugalah berjaya dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan-golongan yang membenci pemerintahan Islam Dr Mursi di waktu ini.

Hampir setiap keratan akhbar yang dikeluarkan akan mengkritik pemerintahan Dr Mursi. Kebanyakan siaran televisyen rasmi yang ada juga sebahagian besarnya digunakan untuk memburuk-burukkan reputasi pemerintahan Dr Mursi di waktu ini. Dan apa yang pasti adalah semua tindakan mereka ini sudah semestinya dibiayai oleh puak-puak yang memusuhi agama Islam itu sendiri.



Lantas rakyat yang kebanyakannya hanya bersumberkan kepada media-media teras percuma ini sudah semestinya sedikit sebanyak akan terpengaruh jua dengan doktrinisasi-doktrinisasi yang dijalankan secara tidak sedar oleh musuh-musuh Islam ini. Faktor ini jugalah yang mendorong kepada rakyat untuk keluar beramai-ramai sebahagiannya pada 30 Jun itu demi menunjukkan sokongan mereka terhadap puak-puak penentang Dr Mursi yang akhirnya membawa kepada penggulingan kuasa Dr Mursi daripada kerusi Presidennya oleh pihak tentera.



Digulingkan hanya disebabkan kepada pengaruh media-media teras yang berjaya memburukkan imej kepimpinan Dr Mursi tatkala itu. Walhal, berbagai-bagai kebaikan-kebaikan dan jasa-jasa lain yang telah dilakukan oleh beliau tidak pula ditayangkan buat tatapan umum sebelum itu. Malah, peningkatan-peningkatan prestasi negara Mesir yang melambung naik prestasinya di kala pemerintahan Dr Mursi itu sebahagiannya ada pula yang cuba disembunyi-sembunyikan faktanya daripada pengetahuan rakyat biasa.

Mursi diburuk-burukkan reputasinya hari demi hari sehinggalah rakyat sebahagiannya sudah naik muak dengan muka beliau. Tiba-tiba, muncul pula muka-muka baru yang dijual-jual namanya oleh media sebagai pejuang kebenaran, kononnya sebagai hero- puak-puak Tamarud dan yang sekepala dengannya- yang akan mendedahkan segala ‘kepincangan’ pemerintahan Dr Mursi.

Sejurus selepas Dr Mursi digulingkan, pimpinan-pimpinan Ikhwan dan beberapa figure besar kebangkitan rakyat yang menyokong Mursi yang lain turut ditangkap secara beramai-ramai hari demi hari. Namun, apa yang berlaku kepada televisyen rasmi negara Mesir di kala itu secara serta-merta telah kembali seperti di zaman Hosni Mubarak dahulu. Segala-galanya penuh dengan kata-kata tipu sehingga tidak lagi boleh dijadikan rujukan seperti di zaman Mursi dahulu.

PENIPUAN MEDIA (Di bawah anak panah): “TERKINI: Jurucakap Majlis Tentera: Tidak pernah berlaku tangkapan kepada mana-mana aktivis politik sejak Revolusi 30 Jun dan tidak terdapat seorang pun tahanan politik di dalam penjara."

Segala-galanya dilihat semakin mempersalahkan Dr Mursi dan Ikhwan atas apa yang telah berlaku. Tidak kiralah akhbar-akhbar mahupun siaran-siaran rasmi televisyen Mesir. Semuanya akan cuba mengkambinghitamkan Mursi dan Ikhwan Musliminnya disebabkan atas apa yang telah berlaku.

Penipuan yang dilakukan oleh media-media Mesir ini semakin jelas kelihatan keagresifannya selepas peritiwa ‘Pembantaian Raba’ah’ dan pembunuhan demi pembunuhan yang berlaku ke atas rakyat Mesir tatkala rakyat semakin ramai yang menyatakan bantahan mereka terhadap rampasan kuasa tentera.

Media-media tempatan menyatakan bahawa pihak berkuasa menjumpai senjata-senjata di tapak himpunan Raba’ah sejurus selepas daripada ‘proses pembersihan’ yang dilakukan oleh mereka. Lantas kemudian Ikhwan Muslimin dilabel sebagai ‘pengganas’ (terrorist). Walhal sumber-sumber yang berada di lokasi kejadian melaporkan bahawa apa yang sebenarnya yang berlaku ialah ambulan-ambulan yang ada di waktu itu digunakan untuk membawa masuk senjata-senjata daripada luar ke tapak himpunan!

Andai betullah dakwaan bahawa demonstran-demonstran di dua lokasi himpunan ini mempunyai senjata bersama-sama mereka, sudah tentu senjata-senjata yang ada bersama-sama mereka itu akan digunakan untuk menyerang pihak berkuasa dan samseng-samseng Mesir yang melancarkan serangan pembunuhan ke atas mereka. Tetapi apa yang dapat kita lihat adalah sebaliknya. Lantas logik lagikah tuduhan ‘memiliki senjata’ ini dipersalahkan ke atas demonstran-demonstran di sana?

Keratan akhbar tempatan Mesir menyatakan bahawa "Ikhwan membawa senjata ketika himpunan Jumaat yang lalu."

Lemparan fitnah yang dilakukan oleh media-media tempatan Mesir ini bukanlah sehari sahaja, bahkan berturut-turut bagi hari-hari berikutnya juga. Hampir setiap hari akan ada sahaja tuduhan-tuduhan ‘keganasan’ yang kononnya didalangi oleh Ikhwan akan dipaparkan oleh media-media tempatan Mesir di waktu ini.

Lantas sekali lagi dan berkali-kali berikut selepasnya, rakyat yang kebanyakannya hanya bersumberkan kepada media-media teras ini sudah semestinya sedikit sebanyak akan terpengaruh jua dengan doktrinisasi-doktrinisasi yang dijalankan oleh pihak-pihak berkepentingan ini. Sehinggalah di hadapan mataku setakat ini telah aku berjumpa sendiri dengan beberapa orang rakyat Mesir yang memang bulat-bulat menyalahkan Ikhwan Muslimin atas tragedi-tragedi buruk yang berlaku. Kerna orang seperti mereka ini sememangnya terbukti mempercayai berita-berita tolol yang sentiasa dipanas-panaskan oleh media-media murahan ini.


Antara akhbar-akhbar tempatan yang tidak henti-henti memfitnah Ikhwan Muslimin dengan bermacam-macam tuduhan



Namun, apa yang tidak kurang menyedihkan lagi adalah pabila melihatkan pula kepada sebahagian laporan yang disiarkan oleh akhbar-akhbar tempatan di Malaysia. Cerita-cerita yang dipaparkan di dada-dada akhbar di sana adalah sangat-sangat melampau kekadangnya. Seolah-olah sedang berlaku Perang Dunia Keempat di bumi Mesir di kala ini.

Kekadang diri ini tertanya-tanya juga,” kenapalah mereka yang berada di Malaysia itu terlampau takut sangat kekadang akan keadaan pelajar-pelajar Malaysia di sini?” 

Namun, selepas aku dikhabarkan oleh seorang sahabatku yang baru pulang ke Malaysia mengenai paparan-paparan media-media tempatan di sana, baru aku tahu akan sebabnya. Tidak padanlah ibubapa-ibubapa di sana begitu risau dan selalu takut apabila mengenangkan keadaan anak-anak mereka di sini.

“Ibu mana yang tidak risaukan anaknya.” 

Ya. Tetapi risau ibubapa ini kebiasaannya terpandu. Namun, pabila saban hari disajikan dengan berita-berita ‘dahsyat’ sedemikian rupa, aku pun tiba-tiba boleh jadi risau akan keadaanku di sini gamaknya.

Tajuk 'panas' berita-berita mengenai Mesir di Malaysia

Ya. Media hari ini sangat memainkan peranan dalam membentuk mentaliti dan mind-set pemikiran sesuatu masyarakat di negara mereka. Kemudian, selepas berlakunya tragedi pembunuhan rakyat Mesir secara besar-besaran di dua lokasi Raba’ah dan Nahdhah, simbol ‘4 Raba’ah’ mula diperkenalkan sebagai tanda sokongan kepada perjuangan menegakkan kebenaran rakyat Mesir.

Simbol-simbol ini kemudiannya mula memenuhi segenap ruangan media-media maya hari demi hari. Bahkan kerajaan Turki pimpinan Racep Tayyeb Erdogan saban hari mempromosikan simbol ‘4 Raba’ah’ ini kepada rakyatnya. Sambutannya sangat memberangsangkan dari seluruh pelusuk dunia.

Namun, apa yang menyedihkan di Malaysia ialah masih wujud lagi individu-individu yang secara perlahan-lahan cuba menghasut dan memporak-perandakan masyarakat Malaysia di sana berkaitan isu-isu seperti ini. Simbol ‘4 Raba’ah’ dikatakan sebagai simbol rahsia sihir-sihir Iblis dan Syaitan yang mempunyai agenda tersembunyi dan diperkenalkan oleh puak-puak Yahudi untuk memesongkan umat Islam di waktu ini.

Simbol '4 Raba'ah' yang kononnya dikatakan sebagai simbol syaitan yang mempunyai agenda tersembunyi

Allah... Sedih hati ini pabila melihatkan kepada sebahagian individu-individu seperti ini. Sengaja menimbulkan spekulasi-spekulasi sensitif seolah-olah tiada perkara lain lagi yang ingin difokuskan olehnya. Isu-isu seperti ini pun hendak dijadikan bahan olehnya.

Pening betul orang dibuatnya. Nak tergelak pun ada kekadangnya. Ya. Memang Islam mengajar kita untuk meneliti dengan teliti sesuatu perkara itu dengan segala usul periksa. Namun, tidak pula Islam itu mengajar kita untuk membesar-besarkan sesuatu perkara biasa.

Baru semalam aku terserempak dengan beberapa pemandu tempatan van awam di sini menunjuk-nunjukkan 'simbol 4 jari' itu sambil mulut mereka melaung-laungkan perkataan "RABA’AH 3X!"

"Woi, ini simbol Syaitan ni!?"

Tidak. Mereka hanya memberikan isyarat bahawa van awam yang mereka pandu itu akan melalui kawasan bernama Rabiatul Adawiyah (ataupun disebut sebagai Raba’ah oleh penduduk tempatan di Mesir sini). Orang Mesir memang terkenal dengan body language-nya, lebih-lebih lagi pabila melibatkan gaya bahasa tangan.

Jikalau anda datang ke Kaherah sini, anda akan mendapati bermacam-macam jenis simbol tangan yang digunakan oleh mereka ketika berhadapan dengan pengangkutan-pengangkutan awam (bas/van) di sini bagi menunjukkan isyarat destinasi yang ingin mereka tujui:

-Simbol 'peace' merujuk kepada kawasan Hayyu Sabi' (Seksyen Tujuh) sebab nombor 7 dalam Arab berbentuk simbol 'peace'
-Simbol 'peace terbalik' merujuk kepada kawasan Hayyu Thamin (Seksyen Lapan) sebab 'peace terbalik' sama bentuknya dengan nombor 8 Arab
-Simbol 'genggam-genggam' atau 'twit-twit' (maaf, sudah tidak tahu hendak menggambarkan macam mana) merujuk kepada kawasan Hayyu Asyir (Seksyen 10)
-Dan simbol '4 jari' pula merujuk kepada kawasan Rabaah ('Arba’ah' dalam bahasa Arab bermaksud empat)

Dan pelbagai simbol lain lagi yang masih kekal digunakan sehingga hari ini andai anda dapat datang dan menyaksikannya dengan mata kepala anda di Mesir sini sendiri. Jangankan selepas ini 'Bungkusan Nasi Lemak' itu pun hendak dituduhnya sebagai agenda Yahudi, Freemason, Iluminati dan yang sewaktu dengannya pula. Sudah-sudahlah mem-paranoid-kan masyarakat Malaysia.

Tuntasnya, media pada hari ini sangat-sangat memainkan peranan penting (critical role) dalam memberikan gambaran yang diidam-idami oleh rakyat hari ini. Berita yang sahih sememangnya didahagakan oleh rakyat-rakyat yang tidak lari daripada kehidupan berkelompok sesama masyarakat itu sendiri pada hari ini.

Dan andai kata berita-berita palsu yang disiarkan di seluruh tempat ini giat mendapat liputan yang luas pada hari ini, tidak mustahil berita-berita palsu ini akhirnya akan terbongkar jua segala tipu muslihat dan fitnah-fitnah tersembunyinya suatu hari nanti.

Semoga Allah SWT membongkarkan segala perancangan jahat musuh-musuh Islam yang tersembunyi ini suatu hari nanti. Amin.

 #Keep_pray_for_Egypt

No comments :

Post a Comment