Saturday 26 January 2019

Kenapa Nak Kena Vaksin Pula?


Kredit gambar: Public Health Malaysia

Bila dapat tahu ada sahabat-sahabat asatizah di Mesir yang tidak memberikan vaksin kepada anak-anak mereka, saya jadi risau sikit.

Lepas berborak panjang dengan mereka, baru kita tahu tindakan mereka tidak memvaksinkan anak-anak itu bukan sebab mereka ini 'anti-vaksin', cuma mereka kurang pencerahan sikit tentang peranan vaksin ini.

Mari saya terangkan sikit.

1. Apa itu vaksin?
Vaksin merupakan bahan antigenik yang diperolehi daripada virus atau bakteria yang telah dilemahkan bagi menghasilkan pertahanan aktif (immunity) dalam badan. Ia berfungsi untuk melawan penyakit-penyakit berbahaya yang telah membunuh beribu-ribu manusia sebelum ini dalam sejarah kesihatan dunia.

2. Kenapa nak kena vaksinkan anak-anak pula?
Sebab ada penyakit-penyakit berjangkit yang boleh membawa maut sekiranya tidak diberi perlindungan awal. Sebab itu kita suruh ibubapa dapatkan suntikan vaksin awal untuk anak mereka. Sebab mencegah itu lebih baik daripada mengubati. الوقاية خير من العلاج.

3. Kalau tak vaksin, tak boleh ke?
Bahaya. Kenapa perlu dedahkan anak-anak kita kepada risiko yang tidak pasti sedangkan berpuluh-puluh kajian yang pasti telah pun membuktikan kesan tidak mengambil vaksin ini memang memberi mafsadah yang lebih besar berbanding meninggalkannya.

4. Isteri saya dah bagi anak minum susu badan dah. Dalam susu badan pun ada antibodi juga. Buat apa nak ambil vaksin lagi? Cukuplah.

Tak ada sesiapa pun yang menafikan manfaat susu ibu tersebut. Memang susu ibu dapat memberi antibodi kepada bayi. Namun bukan semua antibodi penyakit yang spesifik ada di dalam susu ibu.

Susu ibu memang memberikan antibodi secara umum (general), tetapi tidak untuk sebahagian penyakit-penyakit fatal yang khusus (spesifik). Kita bukan suruh tinggalkan susu ibu. Tidak. Tetapi ambillah susu ibu dan ambillah juga vaksin itu untuk anak-anak kita. Barulah dapat pertahanan berganda! Kan lebih bijak begitu.

5. Anak saya biarlah saya yang tentukan dia nak kena ambil apa. Bukan anak awak. Tak perlulah nak paksa-paksa orang ambil vaksin.

Sebab ia bakal melibatkan anak-anak orang lain juga selepas ini sebenarnya Puan. Penyakit yang membawa maut itu boleh berjangkit. Dan ia boleh memudaratkan anak-anak orang lain juga. Bukan anak Puan sahaja. Kalaulah Puan tak nak pedulikan status kesihatan anak sendiri sekalipun, tolonglah hormati keselamatan anak-anak orang lain ya.



6. Doktor-doktor ini nak buat duit saja dengan vaksin. Sebab itu depa paksa orang ambil vaksin. Boleh buat duit. Big Pharma Conspiracy.

Kat Mesir ini kerajaan mereka siap bagi vaksin secara PERCUMA lagi kepada rakyat mereka Puan. Kalau nak buat duit, dah lama dah mereka letak caj untuk setiap vaksin. Baru boleh kaya. Tapi ini siap bagi FREE lagi. Bukan setakat tak dapat untung apa, malah kena duit beribu-ribu genih lagi.

Itu yang pelik kenapa ada ibubapa yang masih tak nak vaksinkan lagi anak-anak mereka di Mesir walaupun benda ini mereka tak perlu keluarkan duit walau satu sen sekalipun.

7. Tapi dalam vaksin ada benda-benda haram. Syubhah.




Yang ini kita belum tunjukkan lagi fatwa-fatwa vaksin dari ulama serata dunia. Fatwa dari Persidangan Ulama Sedunia. Fatwa Darul Ifta. Fatwa dari Mufti Mesir. Fatwa dari Kesatuan Ulama Afrika. Hatta fatwa daripada Syeikh Dr Yusuf Qaradhawi sendiri (hafizahullahu ta'ala) & berbagai-bagai pandangan ulama lain lagi yang menekankan tentang pentingnya MENGAMBIL vaksin ini.

Kalaulah anda tak nak hormatkan doktor sekalipun, tolonglah hormati ulama-ulama & institusi-institusi agama kita ya. Itu saja yang saya minta.


No comments :

Post a Comment