Wednesday 30 December 2015

TIDUR YANG BUKAN TIDUR!




Pernah bangun tidur dengan rasa sakit kepala?
Pernah tertanya-tanya  kenapa diri sendiri mudah mengantuk atau mudah tertidur walau di siang hari sekali pun?

Sleep apnea.


Apa itu “Sleep apnea”

Sleep apnea ialah satu keadaan ketikamana nafas kita terhenti sebentar semasa sedang tidur malam TANPA KITA SEDAR. Tempoh nafas berhenti tersebut berlaku paling kurang sekitar 10 saat ketika sedang tidur. Kemudian badan kita secara refleksnya akan terjaga sebentar (dalam keadaan tidak sedar/”mamai”) dan akan terus tarik nafas dalam-dalam. Selepas selesai tarik nafas, badan kita akan sambung semula tidur. Dan selang beberapa ketika kemudian akan berlaku lagi kitaran sleep apnea ini. Dan diikuti kemudiannya oleh tarik nafas dalam-dalam itu pula. Dan seterusnya.

Semuanya berlaku berkali-kali dalam satu tidur malam YANG SAMA. Tanpa kebanyakan daripada kita sedar.


Orang yang mengalami masalah sleep apnea ini kebiasaannya juga tidur dalam keadaan berdengkur (snoring). Dan sleep apnea yang dialaminya itu akan dapat dikesan ketika orang tersebut sedang tidur. Ketika mula tidur dia akan berdengkur. Dan setelah lama tidur dalam keadaan berdengkur, kemudian berdengkurnya akan dapat diperhati berhenti secara tiba-tiba. Petanda berhenti berdengkur tersebut ialah petanda kepada pernafasan yang terhenti secara tiba-tiba (sleep apnea).

Semua tanda-tanda yang berlaku ini tidak akan dapat dikesan oleh penghidap sleep apnea ini sendiri, tetapi hanya akan dapat dikesan oleh orang yang tidur bersebelahan dengannya sahaja. Sebab itu penting untuk anda bertanya kepada orang yang tidur bersebelahan anda (sama ada isteri/kawan-
kawan sebilik) mengenai keadaan tidur anda yang bagaimana supaya anda dapat mengesan tanda-tanda sleep apnea ini wujud pada diri anda atau tidak.



Airway passage obstruction

Tidur berdengkur (snoring) berlaku disebabkan kepada banyak faktor. Salah satunya ialah disebabkan oleh kedudukan lidah kita yang secara tidak sengaja tertutup laluan pernafasan udara (pharynx) dan menyebabkan wujudnya satu ruang pernafasan yang terhimpit yang menghasilkan kepada bunyi berdengkur (snoring) tersebut.

Berdengkur (snoring) berlaku apabila laluan pernafasan ini terhalang sehingga menjadi ruangan yang kecil. Tetapi apabila laluan pernafasan ini tertutup secara sempurna, maka ketika inilah fenomena sleep apnea yang diterangkan di atas ini berlaku.



Tidur yang bukan tidur

Kesannya badan kita tidak mendapat bekalan oksigen yang secukupnya ketika tidur. Kuantiti oksigen yang sepatutnya sampai ke otak dalam komposisi yang banyak tidak dapat disampaikan dengan secukupnya disebabkan oleh laluan pernafasan yang terhalang secara tidak kita sedar ini.

Dan kesannya di keesokan pagi ialah kepala kita tiba-tiba berasa sakit ketika bangun pagi. Ketika waktu siang pula badan mudah berasa mengantuk dan mudah tertidur. Hasil daripada badan/otak yang tidak mendapat rehat yang secukupnya walau telah tidur dalam tempoh yang panjang sekalipun di malam tersebut. Kerana tidur kita di malam itu tidak dikira tidur pun sebenarnya!

Kerana tujuan asal tidur adalah untuk memberi kerehatan dan refresh semua sel badan dengan tenaga yang secukupnya untuk bekalan di keesokan pagi. Tetapi semua ini tidak dapat dicapai dalam tidur seorang penghidap sleep apnea. Lantas tidurnya di malam itu BUKAN SATU TIDUR pun sebenarnya!

Kesan bagi jangka masa pendek yang kita nampak mungkin seakan-akan tidak terlalu serius, tetapi kesan bagi jangka masa panjang yang akan berlaku adalah agak merisaukan juga sebenarnya kerana komplikasi ini boleh mengakibatkan masalah kepada jantung, tekanan darah dan berbagai-bagai kesan lain lagi jika dibiarkan lama begitu sahaja.



Rawatan

Banyak kaedah telah dibincangkan bagi membantu menyelesaikan masalah sleep apnea ini sebenarnya. Antaranya :
  • Mengurangkan berat badan
  • Mengamalkan sunnah Nabi SAW dengan tidur mengiring (bukan tidur terlentang)
  • Pengambilan ubat-ubatan bersifat bronchodilator
  • Menggunakan alat “Nasovent” (membantu membuka laluan rongga pernafasan)

  • Menggunakan TRD (Tongue retaining device)



  • Menggunakan MRD (Mandible repositioning device)


  • Menggunakan kaedah rawatan CPAP (Continuous Positive Airway Pressure)


  • Kaedah pembedahan (jika terlalu teruk) : 
    • UPPP (Uveopalatopharyngoplasty)
    • LAUP (Laser assisted uveopalatoplasty)
    • Midline glossectomy (bagi kes macroglossia)

Dan pelbagai cara rawatan lain lagi

Penutup
Akhir kata, kalaulah terhenti bernafas yang sebentar seperti ini pun telah memberikan pelbagai jenis kerisauan kepada diri kita yang lemah ini, maka bagaimanalah pula keadaannya bagi kita menghadapi perhentian nafas terakhir (mati) yang sudah memang pasti akan kita hadapi selepas ini?
Kalaulah terhenti bernafas yang sebentar seperti ini pun sudah memerlukan kepada kita untuk bersiap sedia dengan berbagai-bagai jenis persediaan dan tindakan, maka apa pula persediaan atau bekalan yang telah kita sediakan untuk menghadapi perhentian nafas terakhir yang memang sudah pasti (mati)??

Perbanyakkan amal ibadah dan amal-amal kebaikan selagi masih belum terlambat.