Sunday 21 July 2013

Ramadhan Kita Dan Ramadhan Mereka




Al-kisah menceritakan mengenai tiga pemuda Ali, Ahmad dan Amirul... menyambut Ramadhan yang sama...tetapi masing-masing di negara yang berbeza...

Ali Hussin seorang remaja Syria dan Ahmad Syatir merupakan seorang remaja Mesir. Ramadhan bagi kedua-dua mereka adalah sama sepertimana Ramadhan-Ramadhan sebelumnya, tiada banyak beza. Dan kedua-dua remaja ini tetap berpuasa seperti biasa sepertimana orang lain biasa berpuasa di negara mereka.

Amirul seorang remaja Malaysia. Tinggal bersama-sama 3 orang abang dan kakaknya, Ramadhan kali ini Amirul berazam untuk puasa sepenuhnya kerana dia teringat janji ibunya, RM5 untuk setiap hari yang berjaya dia puasa.

Pagi itu, Ali bangun seawalnya. Setelah tercelik sahaja mata, Ali cepat-cepat menuju ke dapur untuk mula membakar kayu api bagi menyediakan juadah sahur untuk ibu dan 5 orang lagi adik-adiknya. Syatir pun tidak kurang jauh biasanya seperti hari-hari sebelumnya. Pabila jam meniti waktu 2 pagi sahaja, Syatir akan cepat-cepat bangun membasuh muka, pergi ke dapur untuk membantu kakaknya dan kemudian dia akan mengejutkan kelima-lima adik-beradiknya yang masih kecil lagi untuk bangun bersahur bersama.

Jam sudah menunjukkan pukul 5 pagi dan Amirul masih lagi berselubung di balik selimut tebalnya. Puas berkali-kali ibunya menjerit memanggil namanya dari tingkat bawah, namun, Amirul tetap terus enak diulit mimpi-mimpi indahnya. Katil lebih utama baginya daripada bangun sahur yang tidak seberapa.



Seperti siang-siang sebelumnya, Syatir akan keluar di pagi-pagi buta ketikamana insan-insan lain masih belum lagi mencelikkan mata. Dia akan pergi mencari kereta-kereta di tepi jalan milik orang berada untuk ditawarkan dengan basuhannya. Biasanya Syatir akan mendapat sekitar LE0.50 untuk setiap kereta yang dibasuhnya dan duit-duit inilah yang akan dia kumpulkan sehari-sehariannya.



Roti yang dijunjung Ali disusun elok-elok satu-persatunya oleh dua orang adik lelakinya. Seperti hari-hari biasa, roti-roti ini akan dilaung-laungkan jeritan mereka di bangku jalanan bagi mendapatkan kepingan-kepingan duit syiling yang tak seberapa. Dan sepanjang tengahari itulah Ali dan adik-adiknya akan meneruskan rutin harian mereka di bawah sinaran matahari yang tajam membahang tanpa sedaun teduhan pun yang memayungi peluh yang membasahi dahi mereka.



Amirul bangun paginya akan terus sahaja menuju ke ruangan tamu rumahnya. Sambil berbaring di sofa coklat, Amirul akan membuka siaran televisyen dan ditelek satu persatu rancangan yang ada ketika jam menunjukkan pukul 11 pagi, seperti hari-hari sebelumnya. Dan pabila dirasakan kebosanan sekali-sekala, Amirul akan bermain bersama ‘Playstation’nya kerna dirasakan aktiviti inilah yang dapat dilakukannya bagi mengisi masa-masa lapang yang ada sementara menanti waktu berbuka.

Setelah menunaikan solat Zohor di masjid berdekatan, Ali dan adik-adiknya mengemaskan roti-roti yang ada dan terus berjalan pulang setelah seharian penat memerah tenaga. Kemudian tiba-tiba Ali terdengar jeritan adiknya Hasan sedang meraung kesakitan. Terus Ali meninggalkan roti-roti yang dijunjungnya dan pantas berlari mendapatkan adiknya yang dilihat terbaring sambil menahan kesakitan menekap dada yang berdarah. Dan ketika itu juga kedengaran beberapa butir peluru terbang melingkari atas kepala mereka membabi-buta. Terus Ali mengangkat Hasan ke bahunya dan membawa adiknya seorang lagi berlari-lari pulang menuju ke rumah mereka.




Syatir petang itu sedang berjalan pulang menuju ke rumahnya pabila tiba-tiba dia mendapati jutaan manusia sedang berarak di hadapan jalan yang sama sambil melaungkan perkataan “Mursi ya Mursi! Mursi pemimpin kami!! Lantas pabila mendengarkan kalimah-kalimah yang dilaungkan itu, Syatir terus berkobar-kobar bersemangat untuk turut menyertai mereka demi menegakkan kebenaran bersama. Ditinggalkan hasrat untuk pulang ke rumah dan terus disertainya perarakan itu tanpa teringatkan walau sedikit kepada penat seharian bekerja.



Amirul sedang menonton televisyen yang rancak sedang memutarkan lagu-lagu raya dan tidak ketinggalan juga menayangkan tawaran-tawaran murah jualan sempena hari raya. Kemudian, selepas sahaja solat Asar, Amirul tiba-tiba bersorak keriangan. Sungguh gembira betul perasaannya pabila melihatkan kepada ibu dan ayahnya yang pulang dari kerja petang itu sambil membawa berbungkus-bungkus plastik kuih dan minuman. Terus Amirul duduk berhadapan meja makan sambil menepuk-nepuk tangan menanti waktu azan.




Azan Maghrib sayup-sayup kedengaran. Ali bersama-sama adik-adiknya dan ibunya yang telah uzur, perlahan-lahan menyuapkan roti baki jualan pagi tadi sebagai juadah berbuka mereka. Sambil memerhatikan kepada Hasan yang sedang menahan kesakitan, mereka bersedih tidak mampu untuk mengambil apa-apa lagi tindakan kerna kemampuan kewangan jauh sekali mampu mereka sediakan untuk membiayai kos rawatan. Tidak lama selepas itu, keluarga Ali ditinggalkan dengan hembusan nafas terakhir daripada Hasan.

Syatir bersama jutaan umat Mesir yang sedang berbuka puasa dalam himpunan mereka tadi tiba-tiba didatangi segerombolan pasukan polis yang dengan tidak semena-mena terus menangkap dan memukul-mukul mereka. Beberapa gas pemedih mata dilepaskan tembakannya membabi-buta ke arah mereka dan Syatir juga turut tidak terlepas daripada ‘menikmati juadah berbuka’ sepakan dan pukulan kayu-kayu yang hinggap ditubuh badannya.

Amirul pula…Argghhh...!! Tidak perlulah diceritakan sambungannya... Kerna masing-masing dari kita mungkin turut merasai perkara yang sama...

Ya. Ini Ramadhan kita dan itu Ramadhan mereka. Meskipun kita bergelar satu ISLAM yang sama, tapi adakah sambutan Ramadhan kita sesuatu yang sama? Puasa mereka dibuka dengan peluru-peluru musuh durjana. Puasa mereka dihidangkan dengan juadah sepakan-sepakan dan gas-gas pemedih mata. Dan puasa kita sering dibuka dengan senda gurau hilai tawa. Jangan lupakan saudara-saudara kita di sana, kerna umat Islam itu tetap BERSAUDARA KESELURUHANNYA.

Sentiasa sertakan doa kita sepanjang masa untuk saudara-saudara kita di sana.
Isu Ummat Isu Kita.

"مَنْ لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنْهُمْ

"Barangsiapa yang tidak mengambil berat akan perihal umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya..."

(Hadis Dhoif pada riwayat tapi sohih pada makna)

-Amirul Azmeer Bin Asmadi,
 Kuliah Perubatan Al-Azhar,
 1.04am, 21/7/2013,
 Cairo, Egypt.



Wednesday 17 July 2013

Masyarakat Cerdik Yang Dibodohkan




Setiap bangsa/ kaum mempunyai kelebihan mereka yang tersendiri…

Dan bagi masyarakat tempatan Muslim di Mesir, ada sesuatu kepintaran yang dianugerahkan kepada mereka lantaran daripada satu adat mulia yang biasa diamalkan dalam kalangan masyarakat di negara itu…

Dikhabarkan bahawa hampir 824,000 orang warganegara Mesir sedang berkhidmat di Negara-negara Eropah seperti Amerika, Australia dan Negara-negara lain di seluruh dunia sekarang ini dalam pelbagai bidang-bidang professional seperti bidang kejuruteraan nuclear, genetic dan pelbagai bidang yang memerlukan daya pemikiran tinggi yang lain…

Lantas, bukti-bukti ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat-masyarakat Mesir sebenarnya mempunyai daya IQ yang tinggi, lebih-lebih lagi dalam bidang hafalan…


Pernah beberapa kali Daya Hafalan mereka yang kuat ini saya saksikan sendiri dengan mata saya apabila menghadiri kelas-kelas kuliah di Fakulti Perubatan Al-Azhar…

Professor-professor dan pensyarah-pensyarah Arab di sana kebanyakannya ketika mengajar kami jarang-jarang sekali membawa sebarang buku rujukan apatah lagi helaian nota-nota kecil…

Mereka biasanya ketika datang untuk mengajar, akan datang dalam keadaan yang kosong, tidak membawa apa-apa buku bersama… Dan apa yang menakjubkan kebanyakan dari kami di situ adalah, apa-apa yang disebutkan oleh mereka ketika mengajar itu saya perhatikan sepatah-sepatah sebijik seperti apa yang tertulis di dalam buku-buku pengajian perubatan kami!



Mungkin kerana adat yang biasa disuntik oleh masyarakat di sana kepada anak-anak kecil mereka untuk mula menghafal beberapa juzu’ Al-Quran sejak umur kanak-kanak itu masih kecil secara tidak langsung mampu membentuk masyarakat yang sangat kuat daya ingatannya secara tidak mereka sedar…



Ya…
Inilah kelebihan masyarakat Mesir di sana…

Namun, apa yang sangat menyedihkan sebenarnya adalah ketika zaman pemerintahan rejim Hosni Mubarak, kelebihan-kelebihan yang dimiliki kebanyakan rakyat biasa seperti ini jarang-jarang sekali dimanfaatkan oleh kerajaan yang memerintah di waktu itu… Bahkan, kelebihan-kelebihan ini kebanyakannya terkubur dan terpadam begitu sahaja dek kerana pihak yang bertanggungjawab ketika itu tidak memerintah negara dalam keadaan sebaiknya…


Sewaktu Mesir diperintah oleh kerajaan rejim Hosni Mubarak yang terkenal dengan pemerintahan diktator selama hampir 30 tahun, pelbagai penyelewangan yang berlaku dalam kalangan mereka yang memerintah dan banyak sekatan dan ancaman-ancaman bodoh yang dikenakan terhadap rakyat Mesir kebanyakannya ketika itu…

Contohnya seperti sesiapa yang dilihat bertentangan dengan politik Hosni Mubarak dan ada tanda-tanda ingin bangkit menyuarakan hak-hak mereka yang ditindas, akan dipecat dan dilucutkan daripada jawatan mereka serta-merta, yang mana kuasa mutlak untuk melantik dan memecat seseorang di kebanyakan pejabat-pejabat awam adalah tertakluk pada tangan Hosni Mubarak ketika itu…

Lantas, keadaan sosio-politik yang begitu menekan rakyat Mesir ketika itu menyebabkan mereka terpaksa menukar ‘mindset’ kehidupan mereka daripada bekerja untuk berkhidmat kepada masyarakat kepada bekerja untuk menggembirakan kehendak & hati Presiden mereka- To please the Boss

Hal yang sedemikian berlaku disebabkan kuasa melantik dan memecat yang mutlak ada dalam genggaman Hosni Mubarak. Dia berkuasa untuk melantik dan memecat sesuka hati mereka yang dilihat tidak sependapat dengannya, lantas menyebabkan rakyat masing-masing sibuk berkejar-kejar untuk memenuhi kehendak peribadi Hosni, tidak pula memandang untuk memenuhi kepentingan rakyat yang pada masa itu hidup dalam keadaan yang sangat miskin dan tertekan…

Lantas, mentaliti rakyat Mesir yang pada asalnya berfikir untuk kemaslahatan umum merudum ke tahap pemikiran yang paling rendah - hanya mementingkan kepentingan peribadi (ananiyah)- disebabkan pengaruh politik kepimpinan mereka yang bersifat ‘despotism’.





Diceritakan oleh seorang penulis terkemuka Mesir, Alaa Al-Aswany dalam bukunya “On The State of Egypt” yang diterbitkan pada tahun 2011 :

Suatu hari, ketika dia sedang meluangkan malam terakhirnya ketika menziarahi New York, America di perkarangan jalan 42nd Street, secara  tidak sengaja tiba-tiba dia dipertemukan dengan seorang pemuda sedang menjual roti Hot Dog yang wajahnya itu seiras-iras wajah pemuda-pemuda Mesir lain yang biasa ditemuinya…

Terus pabila dia pergi menegur pemuda yang sedang menjual roti Hot Dog itu, dia agak tekejut kerana rupa-rupanya pemuda itu merupakan seorang graduan daripada Fakulti Perubatan Ain Shams (Satu fakulti yang agak terkemuka di Mesir)…

Dan ketika Aswany lepak untuk berborak-borak di situ, pemuda itu menceritakan bagaimana suatu masa dahulu ketika ayahnya yang merupakan seorang kakitangan awam di sebuah kementerian di Mesir dahulu terpaksa memerah keringat bersungguh-sungguh mengusahakan pelbagai jenis cara untuk membolehkan dia beserta adik-beradiknya yang lain mendapat pendidikan… Dan kemudian setelah dia berjaya mendapat pendidikan, barulah pemuda itu sedar, bahawa masyarakat Mesir di waktu pemerintahan rejim Hosni Mubarak itu hanya mampu hidup dalam lingkungan “ 3 No Theory” – No job, no marriage, no future.




Tuntasnya memang jelaslah bahawa kuasa politik/pemerintahan sesebuah Negara itu mampu mengubah mentaliti rakyatnya secara perlahan-lahan tanpa rakyat itu sedari sendiri…


Begitulah juga pabila melihatkan kepada apa yang berlaku di bumi tercinta Malaysia harini…

Harini penyampaian tazkirah dihalang daripada disampaikan di masjid-masjid di malam-malam bulan Ramadhan (di sesetengah negeri)…
Secara tidak sedar, pihak yang bertanggungjawab secara halus ingin menghalang pemikiran rakyat daripada mendapat pendedahan dan pencerahan mengenai ilmu-ilmu yang sangat mereka dahagakan harini sebenarnya…


Media-media milik pihak bertanggungjawab yang dilihat bias kepada sesetengah pihak juga sebenarnya ingin menghalang mentaliti masyarakat daripada bersifat terbuka sekali gus jelas mereka ini ingin menguasai pemikiran rakyat dan ingin membentuk pemikiran macam mana yang mereka ingin tanamkan kepada rakyat yang diperintah sebenarnya…

Memang benarlah amanah pemerintahan ini sepatutnya diberikan kepada mereka yang memahami cara pemerintahan Islam yang sebenar… sepertimana firman Allah s.w.t :

{إن الله يأمركم أن تؤدوا الأمانات إلى أهلها وإذا حكمتم بين الناس أن تحكموا بالعدل  }

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu untuk menyampaikan amanah itu kepada orang yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum dalam kalangan manusia maka tetapkanlah hukum itu seadilnya…”
                                         (Surah an-Nisa’ : ayat 58)




Lantas pabila amanah itu diserahkan kepada mereka yang selayaknya, maka akan bertambah giatlah pihak-pihak pimpinan negara ini akan berusaha untuk menaiktarafkan lagi mentaliti dan tahap pemikiran masyarakat-masyarakat sesuatu negara itu nanti…

Kerna hakikat pemimpin masyarakat yang sebenar adalah mereka yang memperhambakan dirinya kerna menginginkan segala kebaikan itu dirasai rakyat melebihi daripada kepentingan dirinya… Bukan sekadar memerintah kerna ingin membolot segala kepentingan bagi sesetengah pihak sahaja…

Amanat untuk berkhidmat, bukan berkhianat…


Wallahua’alam.

Wednesday 10 July 2013

[7 hari Couple] Parody dari aku!




Tatkala remaja2 Mesir sekarang sedang berlari-larian dengan bunyian peluru2 hidup…
Tatkala remaja2 Syria sekarang sedang bersimbah-simbahan dengan darah manusia2 hidup…

Tatkala itu jugalah remaja2 Malaysia kita sedang sibuk dibuai dengan mainan cinta yg konon-kononnya hidup…




Tatkala satu dunia dihebohkan dengan tragedi berdarah Mesir, Syria dan saudara2nya…
Tatkala itu juga Malaysia dihebohkan dengan cintan-cintun remaja2nya…

Namun, tujuan saya menulis ini bukanlah untuk menghentam apatah lagi menghina individu mana-mana…
Kerna apa yg telah berlaku itu pasti tidak boleh diundur lagi langkahnya…
Kerna nasi telah pun bertukar menjadi buburnya…

Namun apa yg pasti, Allah s.w.t itu Sungguh Maha Luas Rahmat-Nya…
Dan pintu pengampunan-Nya itu juga masih luas lagi terbuka…


Kepada remaja-remaja Malaysia yg terdetik menyesal dengan dosa-dosanya

Diceritakan oleh Imam Ghazali r.a. dalam kitabnya “Ihya Ulumuddin” :

Di zaman Nabi Isa a.s. dahulu terdapat seorang lelaki yg sangat kuat merompak…
Dan dikisahkan bahawa lelaki ini telah bergelumang dengan kegiatan merompaknya itu selama 40 tahun…

Satu hari, lelaki ini terlihat Nabi Isa a.s. sedang berjalan-jalan dengan seorang Abid (ahli Ibadah) yg mana Si Abid tadi merupakan salah seorang daripada golongan ‘Hawariyun’ (Pengikut Setia Nabi Isa a.s.)…

Lantas terdetik di dalam hati si lelaki tadi ;

“Ini Nabi Allah dan pembantunya ni…! Kalau aku turut berjalan-jalan bersama-sama dengan mereka berdua itu, maka aku akan menjadi yg ketiga!! (menandakan bahawa dia turut dapat menumpang kemuliaan dua orang yg soleh itu juga)”

Kemudian ketikamana lelaki ini bergegas-gegas ingin turun pergi berjalan-jalan bersama-sama mereka, tiba-tiba dia terfikir :

“Eh, orang macam aku ni mana layak nak berjalan-jalan bersebelahan dengan abid (yg soleh ini)”

Lantas dia membelakangkan sedikit dirinya itu daripada mereka disebabkan ADA RASA HINA DI DALAM DIRINYA…


Kemudian pabila si Abid tadi terlihat akan lelaki yg terkenal dengan kejahatannya ini tadi, terlintas di dalam hatinya :

“Nanti lelaki (perompak) ni jalan sebelah aku,(orang macam dia ni mana layak nak berjalan-jalan dengan golongan baik macam aku) lebih baik aku rapat-rapatkan diri aku dengan Nabi Isa a.s. “


Lantas ketika itu juga, Allah s.w.t. mewahyukan kepada Nabi Isa a.s. untuk memberitahukan kepada kedua-dua lelaki tadi :

“Telah aku hapuskan amalan yg telah berlalu daripada kedua-dua mereka… Bagi lelaki Hawariyun, telah aku hapuskan segala amalan-amalan kebaikan yg telah dilakukannya disebabkan rasa TA’AJUB dirinya (bangga dirinya) itu… Manakala bagi (insan) yg seorang lagi (perompak tadi), telah aku hapuskan segala dosa-dosanya hanya disebabkan apa yg dirasakan terhadap dirinya itu (rasa hina, bersalah dan menyesal dengan dosa-dosa yg telah dibuatnya)”


Allah…
Masih luas lagi rupanya Rahmat Allah itu untuk hamba-hambaNya yg merasa hina…



Dan diceritakan juga oleh Imam Ghazali di dalam kitab yg sama :
Bahawa satu hari Abdul Wahab Ibn Humaid as-Saqofi berkata :

“ Suatu hari aku terlihat ada tiga orang lelaki dan seorang wanita sedang mengusung satu Jenazah. Lantas cepat-cepat aku pergi mengambil alih tempat wanita tadi untuk mengusung jenazah tersebut (kerna merasakan bahawa tidak patut bagi seorang wanita bersusah-susah untuk mengusung jenazah). Lantas selepas kami mensolatkan dan menanamkan jenazah itu, aku bertanya kepada wanita tadi:

“Siapa jenazah itu tadi kepada engkau?”

Dia menjawab : “Itu anak lelaki aku”

Aku bertanya : “Engkau tiada jiran ke?” (yang dapat membantu mengusung jenazah anak lelaki engkau itu??)

Dia menjawab : “Ada, tetapi mereka memperkecil-kecilkan (memandang hina terhadap) anakku itu…”

Aku bertanya kehairanan : “Macam mana boleh jadi macam tu…??”

Dia menjawab : “Kerna ketika hidupnya, dia merupakan seorang yg jahat (mungkin disebabkan banyak membuat maksiat, maka orang memandang hina terhadapnya)


Lantas aku  berasa kasihan kepadanya dan memberikan beberapa dirham dan keperluan pakaian kepadanya…

Kemudian di malamnya itu aku bermimpi ada seorang lelaki datang kepadaku… rupanya seperti bulan pernama dan pakaiannya adalah tersangatlah putih… dia datang kepada ku dan berterima kasih kepadaku…

Lantas aku bertanya : “Siapakah engkau…?”

Dia menjawab : “Akulah lelaki jahat yg telah engkau kebumikan di siang tadi… Tuhanku telah merahmatiku disebabkan pandangan hina manusia terhadap ku sebelum ini…



Kepada masyarakat-masyarakat Malaysia yg memerhati tindak-tanduk anak-anak remaja kita

Jangan kita merasakan bahawa kitalah insan yg mulia…
Dek kerana kesalahan yg mereka lakukan tidak kita lakukan sebenarnya…

Sebab boleh jadi dengan kesalahan yg mereka lakukan itu, mereka menjadi malu dek kerna ramai yg telah menegurnya..
Lantas mereka bertaubat dan boleh jadi taubat di kala penyesalan yg amat sangat itu menjadi sebab segala dosa-dosa mereka diampunkan-Nya…

Boleh jadi…



Lantas janganlah kita berterusan menghujamkan tohmahan-tohmahan…
Cercaan-cercaan… Makian-makian…
Walaupun kesalahan yg mereka lakukan itu sememangnya mengundang pelbagai macam rasa geli, benci dan rasa nak maki dari segala yg menjadi saksi…

Bahkan sebaliknya eloklah jika difikirkan bagaimana caranya hendak kita menangani masalah-masalah yg sama ini daripada berulang terjadi kepada remaja-remaja di luar sana…


Masyarakat yg memerhati harini perlu lebih kreatif dan aktif

Pabila harini kita melihat realiti remaja-remaja Malaysia semakin menjadi-jadi teruk perangainya…
Dan buktinya jelas terpampang di mana-mana corok laman maya…

Tidak cukup saya kira respon kita hanyalah dengan sekadar meninggalkan ‘comment’ ataupun ‘unlike’ video-video jijik mereka…
Bahkan kita perlu melakukan sesuatu yg jauh lebih besar daripada itu sebenarnya…

Masyarakat harini perlu belajar untuk memikirkan perkara-perkara yg lebih besar!
Memikirkan tindakan jangka masa panjang…
Susulan gejala-gejala masalah yg jelas terpampang bukti-buktinya di laman-laman sesawang…


Kreatif dalam memperbetulkan sesuatu yg salah

Saya memuji beberapa tindakan ‘kreatif’ masyarakat-masyarakat kita di luar sana yg berjaya menarik perhatian umum dengan tindakan-tindakan berani yg dilakukan sebahagian mereka…

Ada yg menegur dengan cara melukis kartun…





Ada yg cuba menegur dengan cara membuat respons video…



Dan ada yg cuba menegur dengan cara menulis…



Masing-masing mempunyai ke’kreativiti’an masing-masing…
Walaupun tak dinafikan yg kekadang ada beberapa kesan buruk sampingannya disebabkan tindakan sebahagian daripada kita itu…

Namun…
Mereka yang menegur ini juga sekurang-kurangnya telah berjaya serba sedikit untuk mencelikkan mata masyarakat2 yg masih alpa…
Lantas kita akan terdetik untuk berperanan dalam memikirkan “Bagaimana caranya untuk kita memperbetulkan remaja-remaja Malaysia yg semakin hanyut dibuai dunia…?”

Masyarakat harini perlu berfikiran BESAR




Pabila hari demi hari muncul pelbagai macam masalah remaja-remaja harini…
Tidak cukup sekiranya jikalau kita hanya bertempik :

“Apalah budak-budak zaman sekarang ini… Teruk betul mereka ni… Ni tandanya dunia dah nak dekat kiamat dah ni…”

Dan kemudian selang sehari dua, masalah-masalah masyarakat yg berlaku itu kian dilupakan…
Tanpa kita memikirkan sebarang tindakan…
Yg boleh sekurang-kurangnya kita sumbangkan…


Pabila timbul sesuatu permasalahan…
Bukanlah hanya kritikan yg diinginkan…
Kerna mengkritik, mengutuk itu semua orang boleh lakukan…
Tapi apa yg lebih penting daripada itu lagi sebenarnya adalah “Apa yg sepatutnya dilakukan bagi membolehkan masalah ini dihapuskan…??”

Pabila suatu masa dahulu masyarakat Malaysia dikejutkan dengan peristiwa ‘Guru-guru menarikan tarian Bobo di hadapan murid-muridnya..
Lantas ramai mulut-mulut yg lancang memberikan segala macam komen dan kritikan…
Namun, apa yg lebih penting daripada itu lagi sebenarnya adalah “Apa yg sepatutnya KITA LAKUKAN bagi membolehkan masalah ini tidak berulang lagi di masa hadapan…??”

Masyarakat harini perlu memikirkan sesuatu yg besar…!
Tidak cukup sekadar mulut yg mengeluarkan bunyi-bunyi yg hingar-bingar…



Setiap orang ada kelebihan dan peranan masing-masing

Setiap orang ada kelebihan yg tersendiri…
Lantas, gunakanlah ia kepada jalan-jalan mencegah kemaksiatan ini…
Demi memastikan kesalahan yg sama tidak akan berulang-ulang lagi...







{ إِنَّمَا المُؤمِنُونَ إِخوَةٌ فَأَصلِحُوا بَينَ أَخَوَيكُم وَاتَّقُوا اللهَ لَعَلَّكُم تُرحَمُون }

“Sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah antara mereka (yg bertelagah) dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat Rahmat.”

( Surah al-Hujurat : ayat 10 )