Saturday 12 July 2014

SYAHID & JIHAD

Di Gaza (Palestin),

Seorang ibu tua menerima panggilan daripada lelaki yang tidak dikenali. Lelaki tersebut bertanya,

"Makcik, makcik ada anak lelaki tak?" 

Si ibu menjawab, "Ada, tiga orang, kenapa?"

"Saya nak bercakap dengan anak lelaki yang sulung boleh?"

"Maaf, anak lelaki sulung dah meninggal dunia (syahid) enam bulan lepas."

"Oh, anak lelaki kedua ada, saya nak bercakap dengannya, hal penting ni!"

"Maafkan saya, anak lelaki kedua saya juga baru meninggal dunia (syahid) minggu lepas."

"Anak ketiga?"

"Ada, tapi umurnya baru 14 tahun, dia tengah main di luar, nanti dia pulang saya minta dia telefon ke nombor ini."

"Oh begitu ke... Makcik, sebenarnya Israel baru sahaja letupkan bangunan di seberang jalan dengan roket. Anak bongsu makcik syahid sekali, kami jumpa nombor makcik ini di telefonnya..."


credit : Ust Nadir al-Nuri



JIHAD DAN ROKOK

Ramai yang inbox tanya bagaimana mahu pergi BERJIHAD DI SYRIA. Walaupun tak sempat respon kesemuanya, namun segelintir yang saya sempat jawab, saya tanyakan soalan seringkas "adakah anda merokok?" jawabnya "ya". Saya tanya lagi "sanggup berhenti merokok?", jawabnya "err, yang tu macam susah sikit". Saya sudahi perbualan dengan berkata "berjihadlah tinggalkan rokok itu dulu".

credit : Faisal Hamdi 

Palestin - Ramadhan Kita & Ramadhan Mereka

Al-kisah menceritakan mengenai tiga pemuda Ali, Ahmad dan Amirul, menyambut Ramadhan yang sama, tetapi masing-masing di negara yang berbeza.

Ali Hussin seorang remaja Palestin dan Ahmad Syatir merupakan seorang remaja Syria. Ramadhan bagi kedua-dua mereka adalah sama sepertimana Ramadhan-Ramadhan sebelumnya, tiada banyak beza. Dan kedua-dua remaja ini tetap juga berpuasa sepertimana orang biasa lain berpuasa di negara mereka.

Amirul Kosim seorang remaja Malaysia. Tinggal bersama-sama 3 orang abang dan kakaknya, Ramadhan kali ini Amirul berazam untuk puasa sepenuhnya kerana dia teringat janji ibunya, RM5 untuk setiap hari yang berjaya dia puasa.

Pagi itu, Ali bangun seawalnya. Setelah tercelik sahaja mata, Ali cepat-cepat menuju ke dapur untuk mula membakar kayu api bagi menyediakan juadah sahur untuk ibu dan 5 orang lagi adik-adiknya. Ahmad pun tidak kurang jauh biasanya seperti hari-hari sebelumnya. Pabila jam meniti waktu 2 pagi sahaja, Ahmad akan cepat-cepat bangun membasuh muka, pergi ke dapur untuk membantu kakaknya dan kemudian dia akan mengejutkan kelima-lima adik-beradiknya yang masih kecil lagi untuk bangun bersahur bersama.

Jam sudah menunjukkan pukul 5 pagi dan Amirul masih lagi berselubung di balik selimut tebalnya. Puas berkali-kali si ibu menjerit memanggil namanya dari tingkat bawah namun, Amirul tetap terus enak diulit mimpi-mimpi indahnya. Katil lebih utama baginya daripada bangun sahur yang tidak seberapa.


Seperti siang-siang sebelumnya, Ahmad akan keluar di pagi-pagi buta ketikamana insan-insan lain masih belum lagi mencelikkan mata. Dia akan pergi mencari kereta-kereta di tepi jalan milik orang berada untuk ditawarkan dengan basuhannya. Biasanya Ahmad akan mendapat sekitar sekeping atau dua keping duit syiling untuk setiap kereta yang dibasuhnya dan duit-duit inilah yang akan dia kumpulkan sehari-seharian pada kebiasaannya.



Roti yang dijunjung Ali disusun elok-elok satu-persatu oleh dua orang adik lelakinya. Seperti hari-hari biasa, roti-roti ini akan dilaung-laungkan jeritan mereka di bangku jalanan bagi mendapatkan kepingan-kepingan duit syiling yang tidak seberapa. Dan sepanjang tengahari itulah Ali dan adik-adiknya akan meneruskan rutin harian mereka di bawah sinaran matahari yang tajam membahang tanpa sedaun teduhan pun yang memayungi peluh yang membasahi dahi mereka.



Amirul pabila bangun paginya akan terus sahaja menuju ke ruangan tamu rumahnya. Sambil berbaring di sofa coklat, Amirul akan membuka siaran televisyen dan ditelek satu persatu rancangan yang ada pada 11 pagi itu seperti hari-hari sebelumnya. Dan pabila dirasakan kebosanan sekali-sekala, Amirul akan bermain ‘Playstation’nya kerna dirasakan aktiviti inilah yang dapat dilakukannya bagi mengisi masa-masa lapang yang ada sementara menanti waktu berbuka.

Setelah menunaikan solat Zohor di masjid berdekatan, Ali dan adik-adiknya mengemaskan roti-roti yang ada dan terus berjalan pulang setelah seharian penat memerah tenaga. Kemudian tiba-tiba Ali terdengar jeritan adiknya Hasan sedang meraung kesakitan! Terus Ali meninggalkan roti-roti yang dijunjungnya dan pantas berlari mendapatkan adiknya yang dilihat terbaring sambil menahan kesakitan menekap dada yang berdarah. Dan ketika itu juga kedengaran beberapa butir peluru terbang melingkari atas kepala mereka membabi-buta. Terus Ali mengangkat Hasan ke bahunya dan membawa adiknya seorang lagi berlari-lari pulang menuju ke rumah mereka.



Ahmad petang itu sedang berjalan pulang menuju ke rumahnya pabila tiba-tiba dia mendapati jutaan manusia sedang berarak di hadapan jalan yang sama sambil melaungkan perkataan “Hancur, hancur Basyar al-Assad!! Hancur, hancur Basyar al-Assad!!" Lantas pabila mendengarkan kalimah-kalimah yang dilaungkan itu, Ahmad terus berkobar-kobar bersemangat untuk turut menyertai demonstrasi mereka demi menegakkan kebenaran bersama-sama. Ditinggalkan hasrat untuk pulang ke rumah sebentar dan terus disertainya tunjuk perasaan itu tanpa teringatkan walau sedikit pun kepada penat seharian bekerja.


Amirul sedang menonton televisyen yang rancak sedang memutarkan lagu-lagu raya dan tidak ketinggalan juga menayangkan tawaran-tawaran murah jualan sempena hari raya. Kemudian, selepas sahaja solat Asar, Amirul tiba-tiba bersorak keriangan. Sungguh gembira betul perasaannya pabila melihatkan kepada ibu dan ayahnya yang pulang dari kerja petang itu sambil membawa berbungkus-bungkus plastik kuih dan minuman. Terus Amirul duduk berhadapan meja makan sambil menepuk-nepuk tangan menanti waktu azan.



Azan Maghrib sayup-sayup kedengaran. Ali bersama-sama adik-adiknya dan ibunya yang telah uzur, perlahan-lahan menyuapkan roti baki jualan pagi tadi sebagai juadah berbuka mereka. Sambil perlahan-lahan makan, sambil itu juga mereka memerhatikan kepada Hasan yang sedang perit menahan kesakitan. Sedih. Tidak mampu mereka untuk mengambil apa-apa lagi tindakan kerna kemampuan kewangan jauh sekali mampu mereka sediakan untuk membiayai kos rawatan. Tidak lama selepas itu, hembusan nafas terakhir daripada Hasan kedengaran.

Ahmad bersama jutaan umat Syria yang sedang berbuka puasa dalam himpunan mereka tadi tiba-tiba didatangi segerombolan pasukan polis yang dengan tidak semena-mena terus menangkap dan memukul-mukul mereka. Beberapa gas pemedih mata dilepaskan tembakannya membabi-buta ke arah mereka dan Ahmad juga turut tidak terlepas daripada ‘menikmati juadah berbuka’ sepakan dan pukulan kayu-kayu yang hinggap ditubuh badannya.

Amirul pula... argghhh...! Tidak perlulah diceritakan sambungannya... Kerna masing-masing dari kita mungkin turut merasai perkara yang sama...!!

Ya. Ini Ramadhan kita dan itu Ramadhan mereka. Meskipun kita bergelar satu ISLAM yang sama, tapi adakah sambutan Ramadhan kita sesuatu yang sama? Puasa mereka dibuka dengan peluru-peluru musuh durjana. Puasa mereka dihidangkan dengan juadah sepakan-sepakan dan gas-gas pemedih mata. Dan puasa kita sering dibuka dengan senda gurau hilai tawa. Jangan lupakan saudara-saudara kita di sana, kerna umat Islam itu sentiasa BERSAUDARA KESELURUHANNYA SEBENARNYA.

Sentiasa sertakan doa kita sepanjang masa untuk saudara-saudara kita di sana.
Isu Umat Isu Kita.

"مَنْ لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنْهُمْ

"Barangsiapa yang tidak mengambil berat akan perihal umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya..."

(Hadis dhoif pada riwayat tapi sohih pada makna)