Monday 21 January 2013

“Kenapa kita nak ambik sangat pendapat-pendapat Ulama' tu? Kan Nabi s.a.w. kan panduan utama kita!"




Al-kisah pada zaman dahulu terdapat seorang ulama’ bersama-sama dengan anak-anak muridnya di sebuah madrasah pengajian di Indonesia…

Lantas,tiba-tiba seorang daripada anak muridnya berkunjung ke rumah gurunya itu untuk bertanyakan suatu soalan…

Lantas ia berkata:

“Wahai syeikh,kenapa perlu kita mengambil hukum-hukum daripada kalam-kalam (kata-kata atau pendapat-pendapat) ulama’-ulama’ terdahulu…?”

“Kan lagi bagus kalau kita ambil je terus hukum-hakam daripada kalam-kalam Allah ataupun kalam-kalam Nabi Muhammad s.a.w. ….?”


Si guru mendengar sambil mendiamkan diri…

“Panduan utama kita kan Allah dan Rasul-Nya… Betul tak? Jadi,terus je lah kita ambil hukum-hakam daripada kalam-kalam Allah ataupun kalam-kalam Rasulullah s.a.w. terus…..

Ni tidak… Asyik-asyik kita cakap : ‘Mengikut pendapat Imam Ghazali r.h.’ (sebagai contoh)…. Asyik-asyik : ‘Sepertimana yang dikatakan oleh Imam Syafie’ r.h.’…. Asyik-asyik  : ‘Dalam masalah Feqah ini,terdapat dua pendapat ulama…. Imam Romli kata sekian dan sekian…manakala Imam Ibn Hajar kata sekian dan sekian… ’


Si guru terus mendiamkan dirinya sambil mendengar….. dan mendengar….

“Tak boleh ke kalau kita terus je kata : ‘Hukum-hukum ini adalah sepertimana yang dikatakan oleh Allah s.w.t ….. Sepertimana mengikut kalam Nabi Muhammad s.a.w.!”

“Kan dua perkara ni kan panduan utama kita…”

“Kenapa kita nak ikut sangat kalam-kalam ulama’ tu…? Mereka tu lagi bagus ke daripada junjungan mulia,Nabi Muhammad s.a.w. ….?? Ambil je lah terus hukum-hakam daripada kalam-kalam Allah dan kalam-kalam Rasulullah s.a.w.”


Si guru memulakan bicaranya…

“Hmm,kamu ni… Banyak sangat cakapnya tu… Penat nanti….”

“Tenang dulu… Rileks... Minum air dulu…”

Si guru terus meminta isterinya untuk menjamukan air kepada anak muridnya ini…
Lantas beliau mempersilakan si anak muridnya ini untuk menikmati hidangan air yang disediakan tersebut…




“Jemputlah minum…”

Anak murid  yang patuh kepada gurunya ini terus menuangkan air yang berada di dalam teko yang disediakan itu ke dalam sebuah cawan untuk diminumnya…




Lantas juga si guru itu bertanya kepada anak muridnya…


“Laahhh… Kenapa kamu tuang air tu dalam cawan..? Kenapa kamu tak minum terus je guna teko itu..??”


Si murid terus menjawab…

“Lahhh… Kan lagi senang kalau kita nak minum guna cawan…” Mana ada orang minum guna teko ni terus..? Susah lah...”

”Kalau kita minum guna teko terus (directly)…kang nanti kang ada air yang tumpah meleleh kat tepi-tepi tu… Lepas tu,air dalam teko ni kan panas… Banyak pulak tu… Mana larat nak teguk sekali banyak terus …Tuanglah dalam cawan dulu bagi sejuk sikit….. Tak perlu nak gelojoh-gelojoh sangat…”


Si guru lantas berkata…

“Haah… Itulah jawapan bagi soalan-soalan kamu tadi….!!”

“Kita sebenarnya bukan tak nak ambil hukum-hakam daripada Allah s.w.t atau daripada Rasulullah s.a.w. terus…”

“Tapi sebenarnya kita sendiri yang tak mampu untuk mengambil hukum-hakam itu terus daripada mereka…”

“Kita perlukan mereka yang lebih arif (lebih tahu) lagi mengenai perkara ini untuk menerangkan nya kepada kita…”

“Siapa lah kita ini jikalau nak dibandingkan dengan Ulama’-ulama’ seperti imam Ghazali,imam Syafie’,imam Nawawi,imam Romli,imam Ibn Hajar dan ulama’-ulama’ yang lain yang tekun menuntut ilmu berpuluh-puluh tahun itu…”


Si  murid tadi terdiam.



Dalam merentasi kehidupan di saat akhir-akhir dunia ini…
Ramai antara umat-umat akhir zaman ini yang kadang-kadang mempertikaikan kewibawaan sesetengah ulama’-ulama’ yang telah banyak berjasa kepada mereka…

Bahkan kadang-kadang boleh sampai kepada tahap menghina ulama’-ulama’ ini (Nau’zubillahi min zaalik)

Kata sebahagian daripada mereka…

“Kenapa kita zaman sekarang ni selalu sangat nak ambik pendapat-pendapat ulama’ tu,pendapat-pendapat ulama’ ni…! Kita lupa ke yang Nabi Muhammad s.a.w itu adalah panduan utama kita! Tahu tak sahabat-sahabat semua yang tindakan kita ini seolah-olah menunjukkan kita ini mengenepikan Rasulullah s.a.w!!??”

“Kita nak ambik pendapat mereka ke nak ambik pendapat Nabi s.a.w!!!?”



Perghh… Cakap kencang….

Cakap kepada mereka…


“Aku nak ambik pendapat mereka (para ulama’) dan aku nak ambik pendapat Nabi s.a.w. …”
“Aku tak nak ambik pendapat kau!!”   ^_^





Tatkala kita pada zaman ini menggunakan pendapat-pendapat para ulama’ yang faqih dalam bidang-bidang ilmu mereka mengenai permasalahan sesuatu perkara*

Bukanlah bermakna kita seolah-olah mengenepikan Junjungan kita,Nabi Muhammad s.a.w…
Bahkan kitalah sebenarnya yang menyanjung tinggi pendapat Nabi s.a.w. ini dengan MEMAHAMI TUJUAN SEBENAR YANG INGIN DISAMPAIKAN oleh Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. ….

*Digunakan kepada perkara-perkara furu’ bukan usul kerna perkara-perkara usul tidak memerlukan kepada perbahasan ulama’ kerna jumhur ulama’ bersetuju mengenainya.
[furu’ = cabang-cabang ilmu asas@persoalan-persoalan sampingan seperti solat-solat sunat]
[usul = perkara-perkara asas seperti Allah itu satu,solat itu wajib]



Al-kisah ada seorang lelaki sedang duduk di ruang tamu rumahnya…
Lantas dia berkata kepada bibik*nya yang sedang berada di dapur ketika itu…

*(Bibik = Panggilan untuk orang gaji di Malaysia yang berbangsa Indonesia)

“Bibiiiik…  Tolong ambilkan air….”

Lantas si bibik yang sedang berada di dapur itu datang ke ruang tamu sambil membawa secawan air teh panas…. untuk majikannya itu tadi minum…

Lelaki itu pun meminumnya…

Dan kemudiannya lelaki tadi tiba-tiba berhajat untuk membuang air kecil…
Lantas dia segera bergegas pergi ke tandas rumahnya itu…

Ketika sedang dibuang ‘hajatnya’ itu…
Dia mendapati bahawa tiada air yang keluar daripada kepala paip tandasnya itu…

“Mungkin air takde kot hari ini…”
Bisik hatinya…

Lantas dia melaungkan suaranya untuk meminta bantuan bibik ketika itu…

“Bibiiiiik…. Tolong ambilkan air….”

Lantas bibik yang dipanggil itu tadi datang kepada majikannya itu sambil membawa SECAWAN TEH PANAS!!

(Adohh…panasnya…   ^_^)


Tafsiran yang ingin disampaikan sebenarnya adalah berbeza untuk mesej yang kekadang bunyinya adalah sama…

Begitulah juga dengan ayat-ayat Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w. ….
Bukanlah kita tidak mahu untuk MENGAMBIL TERUS hukum-hakam daripada hadis-hadis atau ayat-ayat Quran itu tadi (mengikut pemahaman kita)…

Tapi sebenarnya kita sendiri yang kadang-kadang TIDAK MAMPU untuk mentafsirkan makna sebenar yang ingin disampaikan oleh kalam-kalam yang mulia ini…(mengikut tahap ilmu yang kita miliki)

Kerna itulah kita sangat-sangat memerlukan para ulama’ yang jauh lebih alim ini (lebih mengetahui) untuk menerangkan kepada kita makna kalam yang ingin disampaikan sebenarnya…

{فَاسئَلُوآ أَهلَ الذّكرِ إِن كُنتُم لَا تَعلَمُون}

Maksudnya: “Maka bertanyalah kamu kepada golongan yang tahu itu (iaitu mereka yang arif dalam sesuatu perkara tertentu) jika kamu tidak mengetahui.”

(surah an-Nahl : ayat 43)


Wallahua’alam.

~credit to Al-Fadhil Ustaz Nazrul Abdul Nasser & Al-Fadhil Ustaz Shaouqi

No comments :

Post a Comment