Sunday 21 July 2013

Ramadhan Kita Dan Ramadhan Mereka




Al-kisah menceritakan mengenai tiga pemuda Ali, Ahmad dan Amirul... menyambut Ramadhan yang sama...tetapi masing-masing di negara yang berbeza...

Ali Hussin seorang remaja Syria dan Ahmad Syatir merupakan seorang remaja Mesir. Ramadhan bagi kedua-dua mereka adalah sama sepertimana Ramadhan-Ramadhan sebelumnya, tiada banyak beza. Dan kedua-dua remaja ini tetap berpuasa seperti biasa sepertimana orang lain biasa berpuasa di negara mereka.

Amirul seorang remaja Malaysia. Tinggal bersama-sama 3 orang abang dan kakaknya, Ramadhan kali ini Amirul berazam untuk puasa sepenuhnya kerana dia teringat janji ibunya, RM5 untuk setiap hari yang berjaya dia puasa.

Pagi itu, Ali bangun seawalnya. Setelah tercelik sahaja mata, Ali cepat-cepat menuju ke dapur untuk mula membakar kayu api bagi menyediakan juadah sahur untuk ibu dan 5 orang lagi adik-adiknya. Syatir pun tidak kurang jauh biasanya seperti hari-hari sebelumnya. Pabila jam meniti waktu 2 pagi sahaja, Syatir akan cepat-cepat bangun membasuh muka, pergi ke dapur untuk membantu kakaknya dan kemudian dia akan mengejutkan kelima-lima adik-beradiknya yang masih kecil lagi untuk bangun bersahur bersama.

Jam sudah menunjukkan pukul 5 pagi dan Amirul masih lagi berselubung di balik selimut tebalnya. Puas berkali-kali ibunya menjerit memanggil namanya dari tingkat bawah, namun, Amirul tetap terus enak diulit mimpi-mimpi indahnya. Katil lebih utama baginya daripada bangun sahur yang tidak seberapa.



Seperti siang-siang sebelumnya, Syatir akan keluar di pagi-pagi buta ketikamana insan-insan lain masih belum lagi mencelikkan mata. Dia akan pergi mencari kereta-kereta di tepi jalan milik orang berada untuk ditawarkan dengan basuhannya. Biasanya Syatir akan mendapat sekitar LE0.50 untuk setiap kereta yang dibasuhnya dan duit-duit inilah yang akan dia kumpulkan sehari-sehariannya.



Roti yang dijunjung Ali disusun elok-elok satu-persatunya oleh dua orang adik lelakinya. Seperti hari-hari biasa, roti-roti ini akan dilaung-laungkan jeritan mereka di bangku jalanan bagi mendapatkan kepingan-kepingan duit syiling yang tak seberapa. Dan sepanjang tengahari itulah Ali dan adik-adiknya akan meneruskan rutin harian mereka di bawah sinaran matahari yang tajam membahang tanpa sedaun teduhan pun yang memayungi peluh yang membasahi dahi mereka.



Amirul bangun paginya akan terus sahaja menuju ke ruangan tamu rumahnya. Sambil berbaring di sofa coklat, Amirul akan membuka siaran televisyen dan ditelek satu persatu rancangan yang ada ketika jam menunjukkan pukul 11 pagi, seperti hari-hari sebelumnya. Dan pabila dirasakan kebosanan sekali-sekala, Amirul akan bermain bersama ‘Playstation’nya kerna dirasakan aktiviti inilah yang dapat dilakukannya bagi mengisi masa-masa lapang yang ada sementara menanti waktu berbuka.

Setelah menunaikan solat Zohor di masjid berdekatan, Ali dan adik-adiknya mengemaskan roti-roti yang ada dan terus berjalan pulang setelah seharian penat memerah tenaga. Kemudian tiba-tiba Ali terdengar jeritan adiknya Hasan sedang meraung kesakitan. Terus Ali meninggalkan roti-roti yang dijunjungnya dan pantas berlari mendapatkan adiknya yang dilihat terbaring sambil menahan kesakitan menekap dada yang berdarah. Dan ketika itu juga kedengaran beberapa butir peluru terbang melingkari atas kepala mereka membabi-buta. Terus Ali mengangkat Hasan ke bahunya dan membawa adiknya seorang lagi berlari-lari pulang menuju ke rumah mereka.




Syatir petang itu sedang berjalan pulang menuju ke rumahnya pabila tiba-tiba dia mendapati jutaan manusia sedang berarak di hadapan jalan yang sama sambil melaungkan perkataan “Mursi ya Mursi! Mursi pemimpin kami!! Lantas pabila mendengarkan kalimah-kalimah yang dilaungkan itu, Syatir terus berkobar-kobar bersemangat untuk turut menyertai mereka demi menegakkan kebenaran bersama. Ditinggalkan hasrat untuk pulang ke rumah dan terus disertainya perarakan itu tanpa teringatkan walau sedikit kepada penat seharian bekerja.



Amirul sedang menonton televisyen yang rancak sedang memutarkan lagu-lagu raya dan tidak ketinggalan juga menayangkan tawaran-tawaran murah jualan sempena hari raya. Kemudian, selepas sahaja solat Asar, Amirul tiba-tiba bersorak keriangan. Sungguh gembira betul perasaannya pabila melihatkan kepada ibu dan ayahnya yang pulang dari kerja petang itu sambil membawa berbungkus-bungkus plastik kuih dan minuman. Terus Amirul duduk berhadapan meja makan sambil menepuk-nepuk tangan menanti waktu azan.




Azan Maghrib sayup-sayup kedengaran. Ali bersama-sama adik-adiknya dan ibunya yang telah uzur, perlahan-lahan menyuapkan roti baki jualan pagi tadi sebagai juadah berbuka mereka. Sambil memerhatikan kepada Hasan yang sedang menahan kesakitan, mereka bersedih tidak mampu untuk mengambil apa-apa lagi tindakan kerna kemampuan kewangan jauh sekali mampu mereka sediakan untuk membiayai kos rawatan. Tidak lama selepas itu, keluarga Ali ditinggalkan dengan hembusan nafas terakhir daripada Hasan.

Syatir bersama jutaan umat Mesir yang sedang berbuka puasa dalam himpunan mereka tadi tiba-tiba didatangi segerombolan pasukan polis yang dengan tidak semena-mena terus menangkap dan memukul-mukul mereka. Beberapa gas pemedih mata dilepaskan tembakannya membabi-buta ke arah mereka dan Syatir juga turut tidak terlepas daripada ‘menikmati juadah berbuka’ sepakan dan pukulan kayu-kayu yang hinggap ditubuh badannya.

Amirul pula…Argghhh...!! Tidak perlulah diceritakan sambungannya... Kerna masing-masing dari kita mungkin turut merasai perkara yang sama...

Ya. Ini Ramadhan kita dan itu Ramadhan mereka. Meskipun kita bergelar satu ISLAM yang sama, tapi adakah sambutan Ramadhan kita sesuatu yang sama? Puasa mereka dibuka dengan peluru-peluru musuh durjana. Puasa mereka dihidangkan dengan juadah sepakan-sepakan dan gas-gas pemedih mata. Dan puasa kita sering dibuka dengan senda gurau hilai tawa. Jangan lupakan saudara-saudara kita di sana, kerna umat Islam itu tetap BERSAUDARA KESELURUHANNYA.

Sentiasa sertakan doa kita sepanjang masa untuk saudara-saudara kita di sana.
Isu Ummat Isu Kita.

"مَنْ لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنْهُمْ

"Barangsiapa yang tidak mengambil berat akan perihal umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya..."

(Hadis Dhoif pada riwayat tapi sohih pada makna)

-Amirul Azmeer Bin Asmadi,
 Kuliah Perubatan Al-Azhar,
 1.04am, 21/7/2013,
 Cairo, Egypt.



2 comments :

  1. Copy Paste post telah dilakukan, harap tuan dapat memaafkan, admin cuma berniat untuk berkongsi ilmu tuan dengan pembaca kami, InsyaAllah Allah memberkati tuan . Kami juga sedang mencari daie untuk menjadi diantara panel penulis karya dan dakwah untuk blog kami secara ikhlas. Jika berminat, boleh berhubung terus dengan fb page kami. Terima Kasih .
    >> http://bingkisanberdebu.blogspot.com/2014/06/ramadhan-kita-dan-mereka-hmm.html

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ok, tidak mengapa. Makluman untuk copypaste kepada saya seperti ini pun sudah cukup bagus dah sebenarnya. Selamat berkongsi!

      Delete