Sunday 29 September 2013

9 Kesalahan Yang Biasa Dibuat Berkaitan Ibadah Korban



1) Mengganggap ibadah Korban sekali seumur hidup sudah mencukupi.

- Umpama wudhuk yang diulang-ulang pengambilannya meskipun di waktu itu wudhuk kita sebelum itu masih belum terbatal lagi, maka tatkala kita mengambil wudhuk yang baru ketika telah masuk waktu solat yang baru (dalam keadaan kita masih berwdhuk lagi), maka tatkala itu juga gugur dosa-dosa kecil kita dengan gugurnya air wudhuk yang baru itu...

Maka begitulah juga kaedahnya dengan Ibadah Korban yang dilakukan berkali-kali pada setiap tahun itu. Akan bergugurlah dosa-dosa kita dengan ibadah Korban yang dilakukan pada tiap-tiap kalinya itu...





2) Berpegang kepada pendapat yang mengatakan jika Aqiqah belum dibuat, maka Korban tidak boleh dilakukan.

- Tiada syarat yang menyatakan bahawa seseorang itu tidak boleh melakukan ibadah Korban sekiranya dia belum melaksanakan ibadah Aqiqah untuk dirinya lagi. BOLEH untuk melakukan Ibadah Korban walaupun belum dilaksanakan Aqiqah terhadap dirinya sekalipun...

Maka jika bertembung antara Aqiqah dan Korban, maka dahulukanlah ibadah Korban terlebih dahulu di waktu itu (Raya Aidiladha) kerana ibadah Korban mempunyai waktu-waktu tertentu untuk dilakukan dan tidak pula untuk ibadah Aqiqah (Aqiqah boleh dilakukan pada bila-bila masa)...



3) Memilih binatang Korban yang cacat anggotanya untuk disembelih;
  • Sakit / jelas kecacatannya
  • Buta sebelah mata / yang jelas kejulingan matanya
  • Tempang
  • Gemuk yang tidak bersum-sum (gemuk berkaki kontot- tidak normal)

4) Sengaja memilih binatang Korban yang paling murah harganya.

- Semakin baik binatang Korban itu, maka semakin baiklah ganjaran pahala bagi Ibadah Korban yang dilaksanakan itu...




5) Mengganggap Korban di luar negara adalah lebih afdhal.

- Melaksanakan Ibadah Korban dalam negara sendiri adalah sangat baik sebenarnya. Namun, andai negara luar yang dimaksudkan itu adalah sememangnya negara majoriti Muslim yang penduduk di sana sememangnya hidup dalam keadaan serba kekurangan dan sememangnya sangat memerlukan sumber-sumber makanan daripada asas daging ini, maka ibadah Korban di luar negara yang dimaksudkan sana itu adalah lebih afdhal lagi sebenarnya...



6) Melakukan Korban atas nama orang yang telah meninggal dunia. 

- Kaedah yang sebenarnya adalah dengan meniatkan agar pahala ibadah Korban yang kita lakukan itu dipanjangkan pahalanya untuk orang yang telah meninggal dunia, bukan dengan menulis nama arwah yang ingin ditujukan pahala kepada mereka itu di atas borang daftar ibadah Korban... ^_^


7) Tidak melafazkan WAKIL kepada jurusembelih.

- Yang terpaling afdhal sekali sebenarnya adalah bagi pendaftar ibadah Korban itu sendiri menyembelih haiwan Korban itu bagi dirinya. Namun, andai kata tidak diinginkan olehnya, maka eloklah diucapkan kepada jurusembelih (yang biasanya disediakan oleh pihak masjid / surau) "Saya mewakilkan kepada Encik sekian bin sekian untuk menyembelihkan haiwan Korban saya itu ya..."



8) Mengkasari dan menyakiti binatang Korban ketika hendak disembelih

- Haiwan Korban yang hendak disembelihkan itu hendaklah ditumbangkan dengan sebaiknya dengan kadar sakit yang minimum oleh orang di sekeliling mengikut sekadarnya. Jangan terburu-buru terus menyembelih haiwan itu setelah ditumbangkan. Tenangkanlah ia terlebih dahulu sehingga ia kembali tenang dan barulah mula menyembelihnya selepas itu...


9) Mengabaikan sunnah Nabi SAW semasa Korban
  • Pisau tidak tajam
  • Menunjuk-nunjuk mata pisau di hadapan haiwan Korban
  • Menyembelih di hadapan haiwan Korban yang lain
  • Tidak menghadap Kiblat dan tidak mengiringi waktu sembelih itu dengan takbir
  • Tidak berdoa semasa sembelih (  اللهم تقبل منا فإنك أنت السميع العليم )



Akhirnya, adalah sangat menghairankan bilamana masyarakat-masyarakat miskin yang hanya hidup di pinggiran-pinggiran jalan di negara India sana turut mampu menyembelih sekurang-kurangnya seekor kambing pabila menjelang Hari Raya Korban (kerana di sisi mazhab Hanafi, hukum Ibadah Korban itu adalah wajib. Namun semiskin-miskin mereka di sana, mereka akan tetap juga berusaha untuk menjalankan Ibadah Korban walau dengan apa usaha sekalipun), tetapi tidak bagi kebanyakan masyarakat Malaysia yang rata-ratanya hidup dalam keadaan sederhana di sini.

Andai batang rokok yang dihisap mampu di-istiqamah-kan dengan membeli sekotak pada tiap-tiap bulan...
Andai ASTRO yang dilanggan mampu di-istiqamah-kan dengan bayaran langganannya pada tiap-tiap bulan...
Maka adakah MUSTAHIL untuk kita mula melaksanakan ibadah Korban dalam keadaan kita yang serba mencukupi pada hari ini? (alhamdulillah...)

Lantas, andai kata kita meletakkan 'target' untuk melaksanakan ibadah Korban pada tahun hadapan, maka bermulalah dengan menyimpan walau hanya dengan RM 10 sebulan sekalipun. InsyaAllah mencukupi...


Jom, mulakan azam untuk laksanakan Ibadah Korban selepas ini ;-)
Mula menyimpan dengan sedikit demi sedikit, dengan izin Allah, insyaAllah akan mampu juga kita meraih ganjaran Ibadah Korban itu di suatu hari nanti...


~ Kuliah Subuh 29/9/2013 oleh Ustaz Dato' Khalid, Surau al-Mutmainnah, Pandan Perdana, Selangor.




1 comment :