Monday, 4 August 2014

Exam. Bagaimana nak hadapi kegagalan?

Berborak-borak tentang keputusan peperiksaan masing-masing ketika sedang lepak-lepak tadi. Ada diantara sahabat-sahabat yang berjaya dan ada juga yang gagal.

Hati seolah-olah berasa tidak tenang, kerana ada dari kalangan sahabat-sahabat yang gagal dan aku kenal itu merupakan antara mereka yang sangat rajin bekerja untuk kebaikan sahabat-sahabat kami yang lain.


Kemudian, azan Maghrib berkumandang. Cepat-cepat kami bersiap dan ke masjid bawah untuk menunaikan solat Maghrib berjemaah.

Ketika sedang solat yang tidak dalam keadaan berapa khusyuk kerana memikirkan keadaan kurang bernasib baik sahabat-sahabat aku itu, tanpa disedari imam tiba-tiba membacakan sepotong ayat yang membuat aku seperti ditampar seketika,

{ أُولًئِكَ الّذِينَ امتَحَنَ اللهُ قُلُوبَهُم لِلّتَقوَى لَهُم مَغفِرَةٌ وَأَجرٌ عَظِيم…. }

“….mereka itulah orang-orang yang diuji hatinya oleh Allah untuk bertaqwa, bagi mereka ampunan dan pahala yang besar.”

(surah al-Hujurat : ayat 3)

Ayat yang dibacakan imam itu cukup-cukup membuatkan aku seakan-akan seperti dihantukkan kepala ke dinding sebentar. Meskipun ayat tersebut tidaklah menyentuh tentang perihal soal peperiksaan langsung, tetapi beberapa rentas potongan ayat-ayat terakhir itu cukup-cukup membuatkan aku rasa terkesan. 

Benarlah itu suatu UJIAN.



Ya. UJIAN. Bagi mereka yang GAGAL dan perlu mengulangi kertas peperiksaan itu, memang ia nampak seakan-akan seperti itu merupakan suatu ujian yang besar, petanda kepada suatu kegagalan. Namun hakikatnya bagi mereka yang BERJAYA, itu juga merupakan ujian yang lebih besar lagi sebenarnya.

Kerana ramai yang tidak nampak bahawa NIKMAT KEJAYAAN itu juga merupakan suatu UJIAN.

Ya. Apabila kita gagal dalam sesuatu peperiksaan, keadaan itu akan menyebabkan kita kekadang rasa lemah semangat, futur, down. Tetapi kemudiannya kita akan bangkit semula dan bekerja lebih keras lagi kerana kita tahu bahawa hakikat sebenar memerlukan kepada usaha dan penggantungan yang lebih lagi kepada Allah SWT. 

Kekadang ujian kegagalan itu boleh menyebabkan kita menjadi seorang yang lebih mendekatkan diri lagi kepada Tuhan, seorang yang cuba untuk menjadi lebih baik lagi, dan itu adalah kesan terbaik bagi seseorang yang ditimpa dengan ujian kegagalan itu sebenarnya.

Kegagalan sebagai UJIAN yang mengubah diri kita kepada insan yang lebih baik lagi.

Namun, pabila kita diberikan kejayaan dalam sesuatu peperiksaan, ramai yang tidak sedar hakikat bahawa itu juga merupakan satu bentuk ujian ke atas kita juga sebenarnya. Ujian untuk menguji orang jenis apa kita akan jadi selepas diberikan nikmat kejayaan itu sebenarnya?

Adakah menjadi seorang yang bersyukur? Berbangga? Mendabik dada? Atau bagaimana??

 “Ya, walaupun aku sibuk dengan bermacam-macam kerja, aku dapat juga result exam yang baik! Hebat juga kalau nak dibandingkan dengan orang lain yang takde kerja banyak sangat tu. Terbaiklah aku!” (sedikit demi sedikit unsur riak meresap)

“Ya, aku berjaya mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan ini. Terbaiklah! Tak sia-sia usaha keras aku sebelum exam haritu!” (sedikit demi sedikit lupa usaha bantuan orang lain, lupa doa-doa orang lain, lupa kekuasaan Tuhan yang memberi)

Kejayaan sebagai UJIAN yang mengubah diri kita ke arah yang salah tanpa kita sedar sebenarnya.



SAHABAT KITA GAGAL. BAGAIMANA MENGHADAPINYA?



Pabila ada di antara sahabat-sahabat kita diuji dengan ujian kegagalan sedangkan kita dianugerahkan dengan nikmat kejayaan, apa yang perlu kita lakukan di saat itu, andai benar kita seorang SAHABAT?

1-  Berikan support yang bersungguh-sungguh kepada mereka seperti hantar private message memberikan ucapan “Jangan risau Ali. InsyaAllah kau boleh punya. Kalau ada apa-apa yang nak aku tolong bagitahu je lah ya.”

2-     Jangan bersembang-sembang ‘menganjing-nganjing’ gred kawan-kawan yang cemerlang di hadapan mereka. (Bimbang rasa inferiority complex mereka dan rasa terlalu berbeza darjat kerna rasa tidak pandai)

3-   Jangan bersembang tentang aktiviti-aktiviti menyeronokkan di hadapan mereka seperti jamuan kesyukuran, jamuan batch, aktiviti melancong sempena musim cuti kerna bimbang-bimbang timbul detik hati, “seronoknya mereka boleh buat macam-macam aktiviti best. Aku tak boleh. Nak kena fokus study betul-betul kot untuk repeat paper akan datang.”

4-  Bantu mereka untuk betul-betul mencapai kejayaan dalam reseat exam akan datang. Peringatkan kepada usaha ‘jangan lupa study bersungguh-sungguh’ jika mereka terleka sebentar.

5-  Sentiasa sebut-sebutkan nama-nama mereka di dalam doa-doa solat kita. Mohon agar Allah SWT memberikan yang terbaik dan mempermudahkan segala urusan mereka selepas ini.


Kerna orang mukmin itu sentiasa bersaudara. Senang bersama. Susah bersama. Sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud,
 Perumpamaan orang mukmin itu dalam perkara berkasih sayang dan saling cinta-menyintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggota tubuhnya berasa sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasai akan kesakitannya” (Mutafaqun ‘Alaih)”



Dan beruntunglah bagi mereka yang berjaya mengharungi kesemua UJIAN senang dan susah itu dengan cara terbaik dalam kehidupan mereka.


"Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia yang memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui akan segala sesuatu."  [ At-Taghabun : 11 ]





عَجَبًا ِلأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ لَهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَلِكَ ِلأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْراً لَهُ

“Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin, semua urusannya adalah baik baginya. Tidak didapati hal ini kecuali pada diri seorang mukmin. Apabila mendapatkan kesenangan, dia bersyukur, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya. Sebaliknya apabila tertimpa kesusahan, dia pun bersabar, maka yang demikian itu juga merupakan kebaikan baginya.” (Hadis Sohih. Diriwayatkan oleh Muslim, no. 2999 dari Abu Yahya Shuhaib bin Sinan radhiyallahu ‘anhu).


Semoga Allah SWT memberkati, membantu dan mempermudahkan urusan mereka-mereka yang diuji itu selamanya. Amin

3 comments :

  1. bila perasan riak memuncak , kegagalan pasti tiba. maka haruslah periksa diri setiap masa :)

    ReplyDelete