Wednesday, 11 February 2015

8 Tips Mudah Ketika Berada Di Musim Ribut Berpasir



Kebetulan tadi dalam kelas systemic pathology, kami ada membincangkan beberapa penyakit berkaitan cuaca semasa (ribut pasir) yang sedang melanda Cairo (Mesir) sekarang ini.

Ribut musim sejuk berpasir. Tiupan angin musim sejuk yang menyengat tulang. Ditambah pula dengan pasir-pasir halus sebagai 'penambah perisa'. Terasa penangannya sehinggakan anda boleh merasai sendiri 'nikmat' butiran-butiran pasir itu di dalam mulut anda ketika angin bertiup kencang secara tiba-tiba.



Beberapa tips penting sepanjang musim ini :

1- Kalau boleh pakai topeng penutup mulut, sebaiknya dipakaikan topeng tersebut bagi mengelakkan debu-debu atau pasir-pasir daripada memasuki mulut anda kerana kebanyakan penyakit berjangkit yang terdapat di dunia ini boleh berjangkit melalui tiupan debu-debu atau pasir-pasir ini. Perlu diketahui bahawa Mesir juga merupakan antara salah satu negara yang mempunyai statistik kadar penyakit berjangkit yang tinggi.


2- Lindungi organ-organ pernafasan anda (hidung, mulut, dll) daripada dimasuki debu-debu atau pasir-pasir yang berterbangan samada dengan kain atau topeng atau tangan dan sebagainya bagi mengelakkan diri anda daripada menghidapi komplikasi penyakit athma, bronchitis, emphysema dan lain-lain.

3- Bagi yang menggunakan 'contact lens', sebolehnya elakkan pemakaian contact lens ini di waktu-waktu sebegini kerana contact lens anda boleh menjadi kotor dan dijangkiti kuman dengan mudah melalui tiupan angin berdebu/berpasir ini. Sebaliknya gunakan sahaja kacamata biasa buat sementara waktu di musim sebegini.

4- Lindungi juga mata dan telinga anda daripada dimasuki pasir dengan pemakaian kacamata atau halang menggunakan tangan atau apa-apa objek yang ada.


5- Kurangkan keluar rumah jika tiada apa-apa keperluan penting. Namun pergi ke kuliah atau kelas-kelas pengajian adalah MESTI!

6- Banyakkan minum air di waktu ini kerana angin yang bertiup akan menyebabkan kulit anda cepat kering dan minuman air yang banyak adalah berfungsi bagi mengelakkan badan anda daripada dehydrated (kurang air).

7- Di waktu inilah anda akan menyedari betapa berharganya diri anda yang memiliki bulu mata dan bulu hidung yang lebat kerana bulu-bulu ini bertindak sebagai natural air filter (penapis udara semulajadi) bagi diri anda. Bersyukurlah sebanyak yang mungkin kepada Tuhan di setiap masa!

8- Amalkan doa yang diajar oleh Nabi SAW ketika berada di musim-musim sebegini :

اللهم إني أسألك خيرها, وأعوذ بك من شرها
 "Ya Allah aku memohon kepada-Mu kebaikannya dan berlindung dengan-Mu daripada keburukannya."


Semoga kita sentiasa dipelihara di bawah naugan rahmat-Nya sentiasa, insyaAllah.

~Moga bermanfaat

Saturday, 18 October 2014

KOMA 20 TAHUN KEMUDIAN SEMBUH : PERLU QADA’ SOLAT / TIDAK?

Saya :             Doktor, andaikata ada seorang pesakit, terlantar koma di hospital selama 20 tahun disebabkan penyakit kritikal yang dialaminya, kemudian tiba-tiba dia sembuh selepas 20 tahun koma itu dan dapat bergerak seperti biasa semula. Adakah dia perlu qada’ semula solatnya yang selama 20 tahun itu doktor?

Doktor :          Tidak perlu. Sebab dia dikira tidak berakal (  غير العاقل ) ketika keadaan komanya itu dan syarat wajib solat salah satunya adalah berakal.

Saya :             Tapi kalau bagi kes pesakit yang sedar pula, tapi dia tidak menunaikan solat dalam keadaan sakit itu selama 20 tahun disebabkan jahil atau malas, kemudian selepas dia sembuh itu dia bertaubat, maka adakah perlu bagi pesakit ini qada’ semula solatnya yang selama 20 tahun itu?

Doktor :          Ya, wajib qada’ kerana dia berada di dalam keadaan sedar di waktu itu.

Saya :             Tapi doktor, 20 tahun kot. Lama tu…

Doktor :         Ya, tapi kena qada’ juga. Buatlah sedikit demi sedikit supaya tak rasa terbeban. Contohnya lepas solat fardhu satu waktu, buatlah satu kali solat qada’. Satu sahaja, tak perlu banyak-banyak, sebab nanti rasa terbeban kan. Nanti selepas 20 tahun istiqamah tunaikan satu solat qada’ itu, selesailah hutang kita 20 tahun itu insyaAllah. Islam itu mudah bukan? =)

Saya :               (tersenyum)

Tuesday, 2 September 2014

11 PERKARA ORANG MALAYSIA TIDAK SEPATUTNYA LAKUKAN DI MESIR



Panduan ini khusus ditulis bagi mereka yang pertama kali datang ke Mesir samada atas tujuan datang melancong bersama keluarga ataupun atas tujuan menyambung pelajaran ke Mesir sebagai pelajar baru.

(Panduan ini didedahkan bukan bertujuan untuk memburukkan Mesir, apatah lagi untuk menghina negara yang telah banyak mendidik diri penulis ini, tetapi ia ditulis sebagai persediaan kepada warga Malaysia yang ingin berkunjung ke Mesir bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.)

11 ‘JANGAN’ yang patut dititikberatkan oleh warga Malaysia ketika pertama kali tiba di Mesir :

1-      Jangan tayang smartphone @ iphone @ tab anda di khalayak ramai, kerana orang Arab Mesir memang kebanyakannya target orang Malaysia sebagai orang kaya yang boleh dijadikan mangsa rompak/ragut.

2-      Jangan letak beg duit @ wallet @ handphone mahal anda di dalam poket seluar atau apa-apa poket luar pakaian anda yang mudak diseluk masuk tangan ke dalamnya, kerana pencuri Arab Mesir memang sangat-sangat pakar dalam bab pickpocket ini sehinggakan anda tidak akan perasan walau sedikit pun! (kerana saya pernah kena dan sampai sekarang saya tidak pernah membawa apa-apa barang berharga saya di dalam poket seluar ^_^ ) Lebih-lebih lagi ketika anda berada di dalam pengangkutan awam (bas/van (tremco) ).


Dipanggil 'micro-bus' dalam kalangan masyarakat Arab tempatan, tetapi dipanggil sebagai 'tremco' oleh pelajar Malaysia-Mesir

3-      Pabila pertama kali sampai di lapangan terbang antarabangsa Mesir, jangan terlalu berani terus menaiki teksi atau pengangkutan awam dengan sendiri. Sebaiknya minta mana-mana kenalan orang Malaysia yang anda kenal di Mesir untuk menyambut ketibaan anda di lapangan terbang berkenaan, kerna orang Arab Mesir suka target ‘freshies’ sebagai mangsa tipuan mereka (caj tambang pengangkutan berlipat-lipat kali ganda). Lebih-lebih lagi bila anda kelihatan tidak tahu berbahasa Arab dan tidak pandai berbahasa Arab tempatan (arab ammi bukan fushah).

4-      Ketika menunaikan solat di masjid-masjid tempatan, jangan sesekali meletakkan beg atau barang-barang berharga anda di belakang, sebaliknya letak di hadapan (di bahagian yang mata anda boleh perhatikan) kerana banyak terjadi kes hilang barang yang ditinggalkan di belakang walau sekejap.

5-      Jangan bergerak berseorangan. Perompak Arab Mesir suka target orang Malaysia yang bergerak berseorangan, lebih-lebih lagi bila anda kelihatan berpakaian mewah dan mempunyai rupa muka yang ‘jambu’ (maaf, muka ‘jambu’ pun termasuk juga ^^ ).

6-      Jika mahu bershopping (membeli-belah) di kedai-kedai tempatan ataupun di pasar-pasar terkenal di sini, jangan pergi shopping bersendiran (sekiranya anda baru di sini) ataupun pergi hanya bersama pelajar-pelajar baru sahaja (bagi pelajar baru), sebaiknya minta tolong pelajar-pelajar tempatan Malaysia yang berada di sini untuk menemani dan bantu anda membuat tawaran harga sekali, kerana kebiasaannya peniaga Arab akan meletakkan harga 2-3 kali ganda mahal bila berurusan jual beli dengan orang Malaysia (pelajar-pelajar Malaysia di sini kebiasaanya tahu berapa harga standard barang-barang Mesir).

7-      Jangan biarkan pintu atau tingkap rumah anda tertutup tanpa berkunci. Bahaya. Pastikan ia sentiasa berkunci walaupun sekejap. Lebih-lebih lagi jika anda tinggal di rumah tingkat/bahagian bawah.

8-      Jangan berjalan kaki berseorangan di tempat-tempat yang berisiko tinggi*. Sebolehnya gunakan jalan alternatif untuk ke destinasi anda itu jika berjalan kaki.
*(tempat-tempat yang telah dikenal pasti sebagai spot penjenayah beroperasi. Rujuk pelajar tempatan Malaysia mengikut kawasan Mesir yang anda sedang berada itu kerana setiap muhafazah (daerah/negeri di dalam Mesir), tempat berisikonya adalah berbeza-beza mengikut muhafazah masing-masing).

9-     Jangan menunjukkan sebarang sokongan terhadap mana-mana isu politik yang berlaku di sini (seperti saya suka Mursi, saya sokong Ikhwan Muslimin, saya sokong Rabaah – walaupun anda memang seorang penyokong kebenaran), baik sokongan dalam bentuk lisan ataupun dalam bentuk alam maya (contoh : ikon whatsapp anda menggunakan simbol Rabaah). Sebolehnya dielakkan sehabis mungkin.

10-  Jangan tangkap gambar bangunan-bangunan institusi ketenteraan yang berada di sini, kerana memang itu polisi yang dilarang kerajaan Mesir sebagai sebuah negara tentera.

11-  Jangan sia-siakan peluang anda berada di Mesir. Ziarah tempat-tempat bersejarah, beli banyak-banyak kitab-kitab murah dan manfaatkan kelas-kelas pengajian yang ada di sini kerana bukan semua orang bernasib baik mendapat peluang pergi ke negara Mesir seperti yang anda dapat! Have fun! ^_^ )

Monday, 4 August 2014

Exam. Bagaimana nak hadapi kegagalan?

Berborak-borak tentang keputusan peperiksaan masing-masing ketika sedang lepak-lepak tadi. Ada diantara sahabat-sahabat yang berjaya dan ada juga yang gagal.

Hati seolah-olah berasa tidak tenang, kerana ada dari kalangan sahabat-sahabat yang gagal dan aku kenal itu merupakan antara mereka yang sangat rajin bekerja untuk kebaikan sahabat-sahabat kami yang lain.


Kemudian, azan Maghrib berkumandang. Cepat-cepat kami bersiap dan ke masjid bawah untuk menunaikan solat Maghrib berjemaah.

Ketika sedang solat yang tidak dalam keadaan berapa khusyuk kerana memikirkan keadaan kurang bernasib baik sahabat-sahabat aku itu, tanpa disedari imam tiba-tiba membacakan sepotong ayat yang membuat aku seperti ditampar seketika,

{ أُولًئِكَ الّذِينَ امتَحَنَ اللهُ قُلُوبَهُم لِلّتَقوَى لَهُم مَغفِرَةٌ وَأَجرٌ عَظِيم…. }

“….mereka itulah orang-orang yang diuji hatinya oleh Allah untuk bertaqwa, bagi mereka ampunan dan pahala yang besar.”

(surah al-Hujurat : ayat 3)

Ayat yang dibacakan imam itu cukup-cukup membuatkan aku seakan-akan seperti dihantukkan kepala ke dinding sebentar. Meskipun ayat tersebut tidaklah menyentuh tentang perihal soal peperiksaan langsung, tetapi beberapa rentas potongan ayat-ayat terakhir itu cukup-cukup membuatkan aku rasa terkesan. 

Benarlah itu suatu UJIAN.



Ya. UJIAN. Bagi mereka yang GAGAL dan perlu mengulangi kertas peperiksaan itu, memang ia nampak seakan-akan seperti itu merupakan suatu ujian yang besar, petanda kepada suatu kegagalan. Namun hakikatnya bagi mereka yang BERJAYA, itu juga merupakan ujian yang lebih besar lagi sebenarnya.

Kerana ramai yang tidak nampak bahawa NIKMAT KEJAYAAN itu juga merupakan suatu UJIAN.

Ya. Apabila kita gagal dalam sesuatu peperiksaan, keadaan itu akan menyebabkan kita kekadang rasa lemah semangat, futur, down. Tetapi kemudiannya kita akan bangkit semula dan bekerja lebih keras lagi kerana kita tahu bahawa hakikat sebenar memerlukan kepada usaha dan penggantungan yang lebih lagi kepada Allah SWT. 

Kekadang ujian kegagalan itu boleh menyebabkan kita menjadi seorang yang lebih mendekatkan diri lagi kepada Tuhan, seorang yang cuba untuk menjadi lebih baik lagi, dan itu adalah kesan terbaik bagi seseorang yang ditimpa dengan ujian kegagalan itu sebenarnya.

Kegagalan sebagai UJIAN yang mengubah diri kita kepada insan yang lebih baik lagi.

Namun, pabila kita diberikan kejayaan dalam sesuatu peperiksaan, ramai yang tidak sedar hakikat bahawa itu juga merupakan satu bentuk ujian ke atas kita juga sebenarnya. Ujian untuk menguji orang jenis apa kita akan jadi selepas diberikan nikmat kejayaan itu sebenarnya?

Adakah menjadi seorang yang bersyukur? Berbangga? Mendabik dada? Atau bagaimana??

 “Ya, walaupun aku sibuk dengan bermacam-macam kerja, aku dapat juga result exam yang baik! Hebat juga kalau nak dibandingkan dengan orang lain yang takde kerja banyak sangat tu. Terbaiklah aku!” (sedikit demi sedikit unsur riak meresap)

“Ya, aku berjaya mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan ini. Terbaiklah! Tak sia-sia usaha keras aku sebelum exam haritu!” (sedikit demi sedikit lupa usaha bantuan orang lain, lupa doa-doa orang lain, lupa kekuasaan Tuhan yang memberi)

Kejayaan sebagai UJIAN yang mengubah diri kita ke arah yang salah tanpa kita sedar sebenarnya.



SAHABAT KITA GAGAL. BAGAIMANA MENGHADAPINYA?



Pabila ada di antara sahabat-sahabat kita diuji dengan ujian kegagalan sedangkan kita dianugerahkan dengan nikmat kejayaan, apa yang perlu kita lakukan di saat itu, andai benar kita seorang SAHABAT?

1-  Berikan support yang bersungguh-sungguh kepada mereka seperti hantar private message memberikan ucapan “Jangan risau Ali. InsyaAllah kau boleh punya. Kalau ada apa-apa yang nak aku tolong bagitahu je lah ya.”

2-     Jangan bersembang-sembang ‘menganjing-nganjing’ gred kawan-kawan yang cemerlang di hadapan mereka. (Bimbang rasa inferiority complex mereka dan rasa terlalu berbeza darjat kerna rasa tidak pandai)

3-   Jangan bersembang tentang aktiviti-aktiviti menyeronokkan di hadapan mereka seperti jamuan kesyukuran, jamuan batch, aktiviti melancong sempena musim cuti kerna bimbang-bimbang timbul detik hati, “seronoknya mereka boleh buat macam-macam aktiviti best. Aku tak boleh. Nak kena fokus study betul-betul kot untuk repeat paper akan datang.”

4-  Bantu mereka untuk betul-betul mencapai kejayaan dalam reseat exam akan datang. Peringatkan kepada usaha ‘jangan lupa study bersungguh-sungguh’ jika mereka terleka sebentar.

5-  Sentiasa sebut-sebutkan nama-nama mereka di dalam doa-doa solat kita. Mohon agar Allah SWT memberikan yang terbaik dan mempermudahkan segala urusan mereka selepas ini.


Kerna orang mukmin itu sentiasa bersaudara. Senang bersama. Susah bersama. Sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud,
 Perumpamaan orang mukmin itu dalam perkara berkasih sayang dan saling cinta-menyintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggota tubuhnya berasa sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasai akan kesakitannya” (Mutafaqun ‘Alaih)”



Dan beruntunglah bagi mereka yang berjaya mengharungi kesemua UJIAN senang dan susah itu dengan cara terbaik dalam kehidupan mereka.


"Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia yang memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui akan segala sesuatu."  [ At-Taghabun : 11 ]





عَجَبًا ِلأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ لَهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَلِكَ ِلأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْراً لَهُ

“Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin, semua urusannya adalah baik baginya. Tidak didapati hal ini kecuali pada diri seorang mukmin. Apabila mendapatkan kesenangan, dia bersyukur, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya. Sebaliknya apabila tertimpa kesusahan, dia pun bersabar, maka yang demikian itu juga merupakan kebaikan baginya.” (Hadis Sohih. Diriwayatkan oleh Muslim, no. 2999 dari Abu Yahya Shuhaib bin Sinan radhiyallahu ‘anhu).


Semoga Allah SWT memberkati, membantu dan mempermudahkan urusan mereka-mereka yang diuji itu selamanya. Amin

Saturday, 12 July 2014

SYAHID & JIHAD

Di Gaza (Palestin),

Seorang ibu tua menerima panggilan daripada lelaki yang tidak dikenali. Lelaki tersebut bertanya,

"Makcik, makcik ada anak lelaki tak?" 

Si ibu menjawab, "Ada, tiga orang, kenapa?"

"Saya nak bercakap dengan anak lelaki yang sulung boleh?"

"Maaf, anak lelaki sulung dah meninggal dunia (syahid) enam bulan lepas."

"Oh, anak lelaki kedua ada, saya nak bercakap dengannya, hal penting ni!"

"Maafkan saya, anak lelaki kedua saya juga baru meninggal dunia (syahid) minggu lepas."

"Anak ketiga?"

"Ada, tapi umurnya baru 14 tahun, dia tengah main di luar, nanti dia pulang saya minta dia telefon ke nombor ini."

"Oh begitu ke... Makcik, sebenarnya Israel baru sahaja letupkan bangunan di seberang jalan dengan roket. Anak bongsu makcik syahid sekali, kami jumpa nombor makcik ini di telefonnya..."


credit : Ust Nadir al-Nuri



JIHAD DAN ROKOK

Ramai yang inbox tanya bagaimana mahu pergi BERJIHAD DI SYRIA. Walaupun tak sempat respon kesemuanya, namun segelintir yang saya sempat jawab, saya tanyakan soalan seringkas "adakah anda merokok?" jawabnya "ya". Saya tanya lagi "sanggup berhenti merokok?", jawabnya "err, yang tu macam susah sikit". Saya sudahi perbualan dengan berkata "berjihadlah tinggalkan rokok itu dulu".

credit : Faisal Hamdi 

Palestin - Ramadhan Kita & Ramadhan Mereka

Al-kisah menceritakan mengenai tiga pemuda Ali, Ahmad dan Amirul, menyambut Ramadhan yang sama, tetapi masing-masing di negara yang berbeza.

Ali Hussin seorang remaja Palestin dan Ahmad Syatir merupakan seorang remaja Syria. Ramadhan bagi kedua-dua mereka adalah sama sepertimana Ramadhan-Ramadhan sebelumnya, tiada banyak beza. Dan kedua-dua remaja ini tetap juga berpuasa sepertimana orang biasa lain berpuasa di negara mereka.

Amirul Kosim seorang remaja Malaysia. Tinggal bersama-sama 3 orang abang dan kakaknya, Ramadhan kali ini Amirul berazam untuk puasa sepenuhnya kerana dia teringat janji ibunya, RM5 untuk setiap hari yang berjaya dia puasa.

Pagi itu, Ali bangun seawalnya. Setelah tercelik sahaja mata, Ali cepat-cepat menuju ke dapur untuk mula membakar kayu api bagi menyediakan juadah sahur untuk ibu dan 5 orang lagi adik-adiknya. Ahmad pun tidak kurang jauh biasanya seperti hari-hari sebelumnya. Pabila jam meniti waktu 2 pagi sahaja, Ahmad akan cepat-cepat bangun membasuh muka, pergi ke dapur untuk membantu kakaknya dan kemudian dia akan mengejutkan kelima-lima adik-beradiknya yang masih kecil lagi untuk bangun bersahur bersama.

Jam sudah menunjukkan pukul 5 pagi dan Amirul masih lagi berselubung di balik selimut tebalnya. Puas berkali-kali si ibu menjerit memanggil namanya dari tingkat bawah namun, Amirul tetap terus enak diulit mimpi-mimpi indahnya. Katil lebih utama baginya daripada bangun sahur yang tidak seberapa.


Seperti siang-siang sebelumnya, Ahmad akan keluar di pagi-pagi buta ketikamana insan-insan lain masih belum lagi mencelikkan mata. Dia akan pergi mencari kereta-kereta di tepi jalan milik orang berada untuk ditawarkan dengan basuhannya. Biasanya Ahmad akan mendapat sekitar sekeping atau dua keping duit syiling untuk setiap kereta yang dibasuhnya dan duit-duit inilah yang akan dia kumpulkan sehari-seharian pada kebiasaannya.



Roti yang dijunjung Ali disusun elok-elok satu-persatu oleh dua orang adik lelakinya. Seperti hari-hari biasa, roti-roti ini akan dilaung-laungkan jeritan mereka di bangku jalanan bagi mendapatkan kepingan-kepingan duit syiling yang tidak seberapa. Dan sepanjang tengahari itulah Ali dan adik-adiknya akan meneruskan rutin harian mereka di bawah sinaran matahari yang tajam membahang tanpa sedaun teduhan pun yang memayungi peluh yang membasahi dahi mereka.



Amirul pabila bangun paginya akan terus sahaja menuju ke ruangan tamu rumahnya. Sambil berbaring di sofa coklat, Amirul akan membuka siaran televisyen dan ditelek satu persatu rancangan yang ada pada 11 pagi itu seperti hari-hari sebelumnya. Dan pabila dirasakan kebosanan sekali-sekala, Amirul akan bermain ‘Playstation’nya kerna dirasakan aktiviti inilah yang dapat dilakukannya bagi mengisi masa-masa lapang yang ada sementara menanti waktu berbuka.

Setelah menunaikan solat Zohor di masjid berdekatan, Ali dan adik-adiknya mengemaskan roti-roti yang ada dan terus berjalan pulang setelah seharian penat memerah tenaga. Kemudian tiba-tiba Ali terdengar jeritan adiknya Hasan sedang meraung kesakitan! Terus Ali meninggalkan roti-roti yang dijunjungnya dan pantas berlari mendapatkan adiknya yang dilihat terbaring sambil menahan kesakitan menekap dada yang berdarah. Dan ketika itu juga kedengaran beberapa butir peluru terbang melingkari atas kepala mereka membabi-buta. Terus Ali mengangkat Hasan ke bahunya dan membawa adiknya seorang lagi berlari-lari pulang menuju ke rumah mereka.



Ahmad petang itu sedang berjalan pulang menuju ke rumahnya pabila tiba-tiba dia mendapati jutaan manusia sedang berarak di hadapan jalan yang sama sambil melaungkan perkataan “Hancur, hancur Basyar al-Assad!! Hancur, hancur Basyar al-Assad!!" Lantas pabila mendengarkan kalimah-kalimah yang dilaungkan itu, Ahmad terus berkobar-kobar bersemangat untuk turut menyertai demonstrasi mereka demi menegakkan kebenaran bersama-sama. Ditinggalkan hasrat untuk pulang ke rumah sebentar dan terus disertainya tunjuk perasaan itu tanpa teringatkan walau sedikit pun kepada penat seharian bekerja.


Amirul sedang menonton televisyen yang rancak sedang memutarkan lagu-lagu raya dan tidak ketinggalan juga menayangkan tawaran-tawaran murah jualan sempena hari raya. Kemudian, selepas sahaja solat Asar, Amirul tiba-tiba bersorak keriangan. Sungguh gembira betul perasaannya pabila melihatkan kepada ibu dan ayahnya yang pulang dari kerja petang itu sambil membawa berbungkus-bungkus plastik kuih dan minuman. Terus Amirul duduk berhadapan meja makan sambil menepuk-nepuk tangan menanti waktu azan.



Azan Maghrib sayup-sayup kedengaran. Ali bersama-sama adik-adiknya dan ibunya yang telah uzur, perlahan-lahan menyuapkan roti baki jualan pagi tadi sebagai juadah berbuka mereka. Sambil perlahan-lahan makan, sambil itu juga mereka memerhatikan kepada Hasan yang sedang perit menahan kesakitan. Sedih. Tidak mampu mereka untuk mengambil apa-apa lagi tindakan kerna kemampuan kewangan jauh sekali mampu mereka sediakan untuk membiayai kos rawatan. Tidak lama selepas itu, hembusan nafas terakhir daripada Hasan kedengaran.

Ahmad bersama jutaan umat Syria yang sedang berbuka puasa dalam himpunan mereka tadi tiba-tiba didatangi segerombolan pasukan polis yang dengan tidak semena-mena terus menangkap dan memukul-mukul mereka. Beberapa gas pemedih mata dilepaskan tembakannya membabi-buta ke arah mereka dan Ahmad juga turut tidak terlepas daripada ‘menikmati juadah berbuka’ sepakan dan pukulan kayu-kayu yang hinggap ditubuh badannya.

Amirul pula... argghhh...! Tidak perlulah diceritakan sambungannya... Kerna masing-masing dari kita mungkin turut merasai perkara yang sama...!!

Ya. Ini Ramadhan kita dan itu Ramadhan mereka. Meskipun kita bergelar satu ISLAM yang sama, tapi adakah sambutan Ramadhan kita sesuatu yang sama? Puasa mereka dibuka dengan peluru-peluru musuh durjana. Puasa mereka dihidangkan dengan juadah sepakan-sepakan dan gas-gas pemedih mata. Dan puasa kita sering dibuka dengan senda gurau hilai tawa. Jangan lupakan saudara-saudara kita di sana, kerna umat Islam itu sentiasa BERSAUDARA KESELURUHANNYA SEBENARNYA.

Sentiasa sertakan doa kita sepanjang masa untuk saudara-saudara kita di sana.
Isu Umat Isu Kita.

"مَنْ لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنْهُمْ

"Barangsiapa yang tidak mengambil berat akan perihal umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya..."

(Hadis dhoif pada riwayat tapi sohih pada makna)